KUALA LUMPUR – Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan menghantar pegawainya ke Thailand bagi mendapatkan butiran lanjut mengenai penahanan seorang rakyat Malaysia kerana memiliki senjata api dan ratusan peluru di Sadao, Thailand, Sabtu lalu.
Langkah itu adalah bagi membolehkan polis mendapatkan maklumat mengenai tujuan utama suspek lelaki berusia 46 tahun itu yang ditahan dalam satu sekatan jalan raya.
Ketua Polis Negara (KPN) Datuk Seri Mohd Khalid Ismail berkata PDRM, akan bekerjasama dengan Polis Diraja Thailand, dalam mendalami segala modus operandi suspek terbabit yang kini berada dalam tahanan polis di negara jiran itu.
“Setakat ini berdasarkan maklumat yang diperoleh, suspek yang ditahan adalah seorang dan berdasarkan maklumat dari sana (Polis Thailand) suspek akan membawa senjata api dan peluru itu ke Malaysia.
“Justeru pihak kita (PDRM) sedang mengesan tujuan sebenar suspek, modus operandi dan melihat sekiranya ada carta organisasi (kumpulan jenayah) membabitkan suspek).
“Apa yang boleh saya jelaskan setakat ini, kita masih lagi mendalaminya,” katanya di Maktab PDRM Kuala Kubu Bharu, lapor BH pada Selasa.
Terdahulu, Khalid merasmikan Majlis Peluncuran Program Diploma Kepolisan (MQA) dan Standard Kemahiran Pekerjaan Kebangsaan (JPK), Polis Diraja Malaysia (PDRM) di Auditorium, Maktab PDRM Kuala Kubu Bharu.
Mengulas mengenai kawalan keselamatan di pintu sempadan susulan kejadian berkenaan, Mohd Khalid berkata, situasi keselamatan masih terkawal.
“Pintu sempadan kita adalah sentiasa berada dalam keadaan terkawal dan pelaksanaannya sentiasa dipertingkatkan dari masa ke masa bergantung kepada sebarang situasi,” katanya.
Dalam kejadian Sabtu lalu, suspek yang menaiki sebuah kereta jenis KIA bernombor pendaftaran Malaysia ditahan sepasukan polis dari Balai Polis Daerah Sadao dalam satu sekatan jalan raya.
Sekatan jalan raya itu dijalankan sebagai sebahagian daripada operasi pencegahan jenayah penyeludupan dadah serta ancaman keselamatan.
Katanya, pemeriksaan pihak berkuasa Thailand menemukan dua laras raifal M4; 300 butir peluru kaliber 5.56 milimeter (mm); tujuh magazin peluru 5.56mm; 100 butir peluru kaliber .45mm; serta 50 butir peluru kaliber 9mm.
Semua senjata dan peluru berkenaan kemudian dirampas sebagai barang kes untuk siasatan lanjut.



