BN Sabah Akan Perkenal Rancangan Pembangunan Sabah 1 (RPS1) – Bung Moktar

CYBERJAYA – Ketua UMNO Sabah, Datuk Seri Panglima Bung Moktar Radin menegaskan Barisan Nasional (BN) Sabah tidak akan mengulangi pendekatan tradisi manifesto dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) ke-17, sebaliknya memperkenalkan satu dokumen pembangunan jangka panjang yang lebih menyeluruh dikenali sebagai Rancangan Pembangunan Sabah 1 (RPS1).

Beliau berkata, RPS1 digarap sebagai pelan konkrit untuk membetulkan kelemahan asas negeri serta menyediakan hala tuju pembangunan lebih jelas bagi tempoh lima hingga sepuluh tahun akan datang.

“Kita tidak panggil manifesto, sebaliknya Rancangan Pembangunan Sabah 1. Antara tawaran besar termasuk pembukaan lapangan terbang baharu di Sabah, membangunkan Port Kudat sebagai pintu dagang antarabangsa, mewujudkan Dana Kemakmuran Rakyat, serta pendidikan percuma sehingga ke universiti bagi rakyat Sabah,” katanya ketika ditemu bual dalam podcast Jam Kesebelas terbitan Suara.TV https://www.facebook.com/share/v/16uGXWY84U/

Menurut Bung, tawaran BN Sabah berbeza kerana ia tidak sekadar slogan atau retorik politik, sebaliknya mengandungi rancangan berstruktur dengan keutamaan jelas kepada masalah sebenar rakyat.

“Air tidak ada, elektrik mati sepuluh kali sehari, jalan penuh berlubang. Tetapi kerajaan hari ini masih menipu data, mendakwa kemiskinan tegar sudah dinoktahkan. Hakikatnya rakyat menderita,” tegas Ahli Parlimen Kinabatangan itu.

Beliau memberi komitmen BN Sabah akan menamatkan status lapan daerah termiskin di Malaysia yang kini terletak di Sabah dalam tempoh tiga tahun jika diberi mandat menerajui kerajaan negeri.

Bung optimis RPS1 akan menjadi pemangkin kebangkitan semula BN Sabah.

“Yang penting rakyat jelas dengan tawaran kita. Bukan sekadar manifesto lima tahun yang penuh janji, tapi pelan pembangunan jangka panjang yang boleh mengubah wajah Sabah,” katanya.

BN Sabah kini dilihat sebagai antara blok utama yang berpotensi menjadi penentu pembentukan kerajaan negeri seterusnya, dengan Bung tidak menolak sebarang rundingan pasca-pilihan raya asalkan berpaksikan keikhlasan dan kesetiaan.

PRN Sabah ke-17 dijangka berlangsung bila-bila masa selepas Dewan Undangan Negeri dibubarkan, dengan 73 kerusi bakal dipertaruhkan.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat