Filem pendek siap sehari

- Advertisement -

HULU KLANG: Sutradara Fauziah Ahmad Daud mengaku tidak berkompromi dalam soal kualiti ketika menyiapkan naskhah terbaru, filem pendek, Aidil & Atok.

Fauziah yang mesra disapa Ogy mengaku cukup menjaga masa ketika berkarya.

Justeru, tidak hairanlah filem pendek berdurasi 15 minit yang dihasilkan untuk Yayasan Ammirul Ummah itu berjaya disiapkan dalam tempoh sehari sahaja.

Ditemui pada majlis pratonton filem pendek itu yang menampilkan Zaidi Omar dan pelakon cili, Aiman Badarul serta Alexander Zulkarnain di Kompleks Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) di sini, baru-baru ini, Ogy mengaku menjadikan cara kerja Allahyarham Tan Sri Datuk Jins Shamsuddin sebagai inspirasi.

“Saya amat cerewet soal skrip, draf cerita dan masa. Jadi, sebelum masuk set penggambaran, saya akan kenal pasti ‘shot’ yang dimahukan. Seterusnya, saya berbincang dengan pengarah fotografi.

“Saya juga menentukan baju apa yang perlu dipakai pelakon. Semua baju dalam filem pendek Aidil & Atok adalah persalinan baharu yang dibeli produksi, bukan baju pelakon.

“Saya tidak mahu pilihan warna yang tidak sesuai memotong ‘mood’ cerita.

 

Filem pendek arahan Fauziah dan ditulis Slen Fadzil (kiri) boleh ditonton di saluran YouTube Fatijja TV. Foto NSTP Fathil Asri
Filem pendek arahan Fauziah dan ditulis Slen Fadzil (kiri) boleh ditonton di saluran YouTube Fatijja TV. Foto NSTP Fathil Asri

 

“Selain itu, saya juga ambil kira soal lokasi agar tidak membuang masa. Saya jadikan Jins Shamsuddin sebagai idola kerana kebanyakan pengarah hanya tahu ‘action dan cut’, namun, soal pengurusan masa, gagal sehingga menyebabkan penerbit terpaksa menanggung kos berlebihan,” katanya.

Yang turut hadir pada majlis itu, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) FINAS, Prof Dr Md Nasir Ibrahim; Pengarah Yayasan Ammirul Ummah, Mohd Kamal Ismail dan CEO Fatijja, Ibrahim Ridhwan Ismail.

Fauziah berkata, biarpun berdepan cuaca yang tidak menentu, dia berusaha menyiapkan penggambaran pada hari sama, biarpun sehingga jam 1.30 pagi.

“Saya tidak suka buang masa. Disebabkan itu, ketika tidak dapat menjalani penggambaran di luar akibat hujan, saya manfaatkan waktu dengan melakukan penggambaran dalam rumah yang tidak membabitkan dialog.

“Kami terpaksa habiskan penggambaran dalam tempoh sehari kerana Zaidi hanya ada hari itu sahaja. Aiman pula perlu bersekolah.

“Saya bersyukur sikap tidak suka mengambil mudah dengan setiap tanggungjawab berbaloi apabila pengurusan Yayasan Ammirul Ummah berpuas hati dengan hasil kerja saya. Itu yang paling bermakna buat saya,” katanya.

Fauziah menambah, bagi memastikan hasil karya relevan dengan selera penonton terutama golongan muda, dia menjalin kerjasama dengan pekerja belakang tabir mewakili generasi baharu yang dicari melalui Instagram (IG).

“Sebagai pengarah, saya perlu beri ruang dan peluang kepada generasi baharu. Bagi saya, gabungan pekerja belakang tabir profesional dan baharu perlu agar garapan filem sesuai dengan cita rasa penonton masa kini.

“Seperti saya katakan, saya tidak kompromi soal mutu. Jadi untuk filem ini, saya ambil pengarah fotografi yang sudah biasa menghasilkan iklan komersial, manakala kru saya cari di IG.

“Daripada 20 individu yang saya intai di IG, beberapa orang sahaja yang berjaya saya saring untuk bekerja dalam projek ini,” katanya.

Berkongsi bagaimana projek itu tercetus, Fauziah berkata, beliau pada mulanya ditawar membuat ulasan di IG mengenai yayasan berkenaan.

Mengaku tidak gemar dengan kaedah ‘hard sell’, Fauziah mencadangkan yayasan mengeluarkan bajet menghasilkan filem pendek kerana lebih memberikan kesan berbanding video ulasan.

“Pada mulanya, mereka melantik saya sebagai ‘Premier Volunteer’ selama dua tahun dan dikehendaki membuat beberapa ulasan.

“Namun, saya anggap perkara itu klise. Jadi, saya cadangkan agar diberi suntikan berbeza dengan menggunakan platform filem kerana lebih menarik.

“Yayasan bersetuju dan saya diminta mengarahkan sembilan lagi filem pendek. Setakat ini, saya sudah siapkan dua naskhah, iaitu Iqra-Bacalah berkisar wakaf al-Quran dan Aidil & Atok membabitkan wakaf masjid.

“Bagi saya, agama bukan soal halal, haram dan aurat sahaja. Sebaliknya, banyak lagi subjek yang boleh diketengahkan.

“Kita juga boleh mendidik penonton melalui filem,” katanya lebih selesa mengarahkan karya Islamik.

Sebelum ini, Fauziah pernah menghasilkan telefilem Mencari Az Zahrah yang juga bercorak Islamik.

“Pada usia ini, saya selesa duduk di kerusi pengarah dan menghasilkan kisah Islamik. Kalau boleh, saya ingin arah lebih banyak cerita berunsur begini, biarlah generasi muda yang meneruskan usaha saya dalam bidang lakonan,” katanya.

Aidil & Atok yang ditulis Slen Fadzil mengisahkan Aidil yang mengumpul duit perbelanjaan sekolah yang diberi datuk untuk diwakafkan kepada masjid sebagai saham buat ibu bapanya yang sudah meninggal dunia.

Filem pendek ini menyelitkan elemen kasih sayang dan kekeluargaan serta pembentukan akhlak murni seawal usia kanak-kanak. Filem Aidil & Atok boleh ditonton melalui platform YouTube Fatijja TV.

Berita Harian

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
230,282FollowersFollow
27,497FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat