Guru KAFA, Pegawai Masjid & Jurunikah Enggan Divaksin Mungkin Dilarang Bertugas – Sultan Selangor

- Advertisement -

SHAH ALAM – Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah mengingatkan guru Kelas al-Quran dan Fardu Ain (KAFA), pegawai masjid dan jurunikah di negeri ini yang masih berdegil dan enggan mengambil vaksin COVID-19 berkemungkinan tidak dibenarkan meneruskan tugas.

Menerusi kenyataan yang dimuat naik di Facebook Selangor Royal Office hari ini, Sultan Sharafuddin bertitah, baginda amat dukacita dengan golongan yang memilih enggan divaksin kerana mereka akan membahayakan diri sendiri dan orang ramai.

“Beta bimbang jika masih ada guru-guru KAFA yang tidak divaksin, ia boleh memudaratkan pelajar.

“Golongan ini sepatutnya mengetahui jika seseorang itu dijangkiti virus COVID-19, suntikan vaksin yang diterima akan dapat mengelakkan mereka daripada menerima kesan yang lebih buruk.

“Malah, Beta difahamkan sejumlah besar kematian akibat COVID-19 di Selangor adalah dalam kalangan mereka yang tidak divaksin,” titah baginda.

Justeru, baginda mengingatkan kepada guru KAFA yang masih berdegil, mereka berkemungkinan tidak dibenarkan untuk meneruskan tugas.

“Begitu juga kepada pegawai masjid dan jurunikah yang enggan divaksin, mereka juga berdepan dengan tindakan sama,” titah baginda.

Sultan Sharafuddin juga sudah menerima laporan secara terperinci daripada Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) berhubung maklumat pengambilan vaksin COVID-19 dalam kalangan guru KAFA, pegawai masjid dan surau serta jurunikah di negeri itu.

“Beta difahamkan, seramai 326 guru KAFA belum mendapat suntikan vaksin COVID-19, manakala 95 guru lagi enggan menerima suntikan vaksin.

“Seramai 59 pegawai masjid juga belum mendapat suntikan vaksin dengan 11 daripadanya enggan berbuat demikian. Sembilan jurunikah pula masih belum divaksin dan enam dikenal pasti enggan menerima suntikan.

“Beta berharap Jabatan Kesihatan Negeri Selangor (JKNS) dapat menyegerakan proses vaksinasi COVID-19 terhadap guru KAFA, pegawai masjid dan jurunikah di Selangor,” titah baginda.

Pada masa sama, Sultan Sharafuddin juga difahamkan terdapat

268 guru sekolah rendah dan 182 guru sekolah menengah di Selangor juga enggan divaksin.

“Tindakan itu boleh membahayakan pelajar sekolah rendah dan menengah di Selangor dan perkara ini perlu diambil perhatian oleh pihak berwajib.

“Sukacita Beta mengingatkan bahawa pakar perubatan mengesahkan vaksin ini adalah satu-satunya cara untuk mengatasi penularan wabak COVID-19 buat masa ini.

“Kerajaan juga sedang berusaha untuk mewujudkan imuniti kelompok bagi mengurangkan risiko jangkitan yang lebih teruk di masa hadapan,” titah baginda.

Baginda turut mengingatkan negeri Selangor mengeluarkan fatwa bahawa pengambilan vaksin COVID-19 adalah diharuskan.

“Justeru itu rakyat Beta tidak perlu khuatir atau ragu-ragu untuk mendapatkan suntikan vaksin.

“Isu berkaitan pengambilan vaksin COVID-19 ini banyak kali disebut dalam khutbah-khutbah Jumaat dan juga menerusi kenyataan akhbar yang Beta keluarkan.

“Akhirnya Beta menyeru kepada seluruh rakyat negeri Selangor supaya mendapatkan suntikan vaksin di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) yang disediakan Kementerian Kesihatan (KKM) untuk kebaikan diri sendiri dan juga masyarakat sekeliling,” titah baginda. – BH

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat