Oleh Zihan Zari
KULIM – Kepentingan pelajar memulakan perjalanan akademik mereka dengan niat yang jelas, dan nilai adab yang tinggi serta kesiapsiagaan untuk mengadaptasi teknologi baharu secara bertanggungjawab.
Pengarah Politeknik Tuanku Sultanah Bahiyah (PTSB), Hjh. Norlili Juwita Arshad berkata di PTSB, pelajar bukan hanya datang untuk menuntut ilmu malah membentuk sahsiah diri.
“Pegang pada adab sama ada dengan pensyarah, rakan atau sesiapa sahaja di sekeliling anda. Dalam dunia yang dikuasai teknologi, biar manusia terus memanfaatkan dan memandu bukan sebaliknya,”katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan amanat pada Majlis Penutup Minggu Transformasi Siswa (MTS) sempena menyambut kehadiran 803 pelajar baharu bagi sesi pengajian Sesi 1 2025/2026 yang berlangsung di Dewan Mu’adzam Shah, PTSB dekat sini, baru-baru ini.
Menurut beliau pelajar perlu proaktif dan berdaya saing dengan tidak hanya bergantung kepada silibus atau pembelajaran makmal semata-mata tetapi turut peka terhadap kehendak industri semasa dan perubahan di peringkat komuniti.
Dalam pada itu, Ketua Jabatan Hal Ehwal dan Pembangunan Pelajar (JHEP) PTSB, Norsyahidan Mohamad Yusof berkata peningkatan ketara pengambilan pelajar dalam program Kejuruteraan Mekanikal, Elektrik dan Awam bagi sesi kali ini.
“Ini adalah isyarat jelas dan positif bahawa bidang kejuruteraan dalam Pendidikan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) terus diyakini sebagai laluan kerjaya yang mampan serta semakin relevan dengan keperluan negara, ”katanya yang juga Pengerusi Jawatankuasa MTS.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada jawatankuasa pelaksana MTS yang telah menjayakan program selama seminggu dengan penuh komitmen dan profesionalisme.
Ujarnya, MTS merupakan platform penting dalam memperkenalkan sistem pembelajaran, persekitaran kampus serta budaya politeknik kepada pelajar baharu sekali gus memperkukuh semangat kebersamaan dalam kalangan warga PTSB.- SUARA.TV



