KUALA LUMPUR -Proton Holdings Bhd (PROTON) mengumumkan nama rasmi model kereta elektrik (EV) pertamanya yang dikenali sebagai Proton e.MAS 7.
Ketua Pegawai Eksekutif PROTON, Dr Li Chunrong, berkata kenderaan utiliti sukan (SUV) segmen-C bakal menandakan permulaan babak baharu dalam sejarah automotif negara.
“e.MAS 7 menekankan komitmen PROTON di dalam agenda EV Malaysia yang menyeru pengeluar kereta nasional untuk memperkenalkan EV menjelang 2025.
“Walaupun pelancaran penuh akan berlaku pada akhir tahun ini, pengesahan nama dan pratonton model baru ini menunjukkan pendekatan proaktif PROTON dalam memimpin industri automotif negara ke arah masa depan yang lebih lestari,” katanya ketika sesi eksklusif e.MAS 7 bersama media di Subang Jaya pada Jumaat, lapor BH.
Yang turut hadir, Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif PROTON, Roslan Abdullah.
Dibangunkan bersama Geely, Proton e.MAS 7 adalah SUV segmen-C yang direka untuk memenuhi keperluan gaya hidup moden dengan menawarkan ruang dan utiliti yang luas.
Proton e.MAS 7 adalah model EV pertama PROTON menampilkan platform Global Modular Architecture (GMA) yang canggih, memastikan prestasi kenderaan unggul, pengendalian terbaik, dan keselesaan mencukupi.
Dengan dimensi sepanjang 4,615 milimeter (mm), lebar 1,901 mm, tinggi 1,670 mm, dan jarak roda 2,750 mm, e.MAS 7 menawarkan ruang dalaman yang cukup luas dengan reka bentuk luaran kontemporari.
Menurut PROTON, usaha kolaboratif bersama antara PROTON dengan Geely dalam pembangunan model itu merangkumi beberapa aspek penting seperti strategi produk, kejuruteraan, reka bentuk, kawalan kualiti pengeluaran dan pembangunan ekosistem tempatan.
Lebih daripada 100 jurutera PROTON telah memberikan sumbangan secara langsung kepada projek ini, memastikan ia memenuhi keperluan rakyat Malaysia serta pengguna dari negara lain.
EV terbabit menampilkan sistem pemacu elektrik terkini 12-dalam-1 yang canggih, menetapkan piawaian baharu dalam kelasnya tersendiri dengan menggabungkan pelbagai fungsi ke dalam satu unit yang sangat cekap.
Selain itu, Proton e.MAS 7 juga dilengkapi dengan seni bina bateri Cell-To-Body yang inovatif.
Ia dapat memperkukuhkan kekuatan struktur bateri, menambah keluasan ruang dalaman, meningkatkan kestabilan dalam kawalan selekoh dengan kelajuan tinggi, serta keseluruhan pengendaliannya.
Proton e.MAS 7 juga dilengkapi dengan sistem audio Flyme Auto yang diintegrasikan dengan sistem IHU tempatan.
Pasukan PRO-NET juga telah membangunkan penyedia sistem telematik tempatan untuk menyokong kawalan kenderaan, navigasi, dan superApp Proton e.MAS.
Chunrong berkata, matlamat pengeluar kereta nasional itu dengan Proton e.MAS 7 adalah untuk memenuhi janjinya dalam menghasilkan kenderaan elektrik nasional pertama Malaysia.
“Dengan teknologi canggih yang di bangunkan di dalamnya, kami yakin ia tidak hanya memukau dengan ciri inovatif, tetapi juga akan menyentuh hati pelanggan.
“Dalam keterujaan untuk menantikan kehadirannya di jalan raya, kami akan mendedahkan dengan lebih lanjut mengenai Proton e.MAS 7 dalam beberapa bulan yang akan datang,” katanya.
Sejak pengumuman jenama e.MAS dan pengenalan 18 rangkaian pengedar Jun yang lalu, PRO-NET kini telah mengembangkan rangkaiannya kepada jumlah keseluruhan 29 buah pengedar di seluruh Malaysia.
PRO-NET, anak syarikat PROTON, menyasarkan untuk memiliki 25 bilik pameran Proton e.MAS yang akan beroperasi sebelum pelancaran sulung Proton e.MAS 7.