Rakyat Mesti Pilih Parti Yang Tawar Dasar Ekonomi Mapan

KUALA LUMPUR- Kegemilangan Malaysia sebagai Harimau Asia hanya boleh tercapai dengan memilih calon Perdana Menteri yang berkemampuan berdasarkan wawasan dan pengalaman.

Pengerusi Biro Ekonomi Parti Pejuang, Armin Baniaz Pahamin berkata, dasar-dasar ekonomi parti politik harus menjadi keutamaan kepada pengundi semasa Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) nanti.

“Dasar-dasar yang akan diperkenalkan dan perlaksanaan dasar tersebut menjadi tunggak kepada struktur ekonomi yang bakal meletakkan Malaysia kembali sebagai Harimau Asia.

“Dan kegemilangan ini hanya boleh tercapai dengan memilih calon Perdana Menteri yang berkemampuan berdasarkan wawasan dan pengalaman,” katanya dalam kenyataan pada Selasa.

Tegas beliau, Malaysia memerlukan reset hala tuju ekonomi supaya industri-industri utama negara dapat dimanfaatkan kepada lebih banyak usahawan tempatan dan ini hanya boleh berlaku semasa PRU-15.

“Rakyat harus lebih cakna dan pandai menilai dasar-dasar parti politik semasa pilihan raya dan bukan memilih mengikut nafsu.

“Yang pasti pemimpin yang korup dan terpalit dengan rasuah harus ditolak sama sekali demi masa depan negara,” katanya.

Beliau yang juga Pimpinan Majlis Eksekutif Pusat Pejuang memaklumkan, kemerosotan ekonomi Malaysia semakin tidak terkawal dengan kenaikan harga barangan,mata wang yang semakin susut nilai, pengangguran yang meningkat dan pertumbuhan ekonomi yang semakin terkebelakang berbanding dengan negara-negara jiran dan negara Asia lain.

Armin Baniaz menambah,walaupun pembangunan ekonomi adalah sasaran tetapi ianya akan lebih bermakna apabila rakyat mendapat manfaat dari pembangunan tersebut.

“Pembangunan ekonomi sekarang banyak memberi manfaat kepada pelabur luar dan kurang memberi fokus terhadap pelaksanaan dasar- dasar untuk membantu syarikat-syarikat tempatan berdaya saing.

“Ini terbukti dengan kemerosotan pemilikan ekuiti Bumiputera dari 23.4 peratus pada 2011 kepada 17.2 peratus berasaskan nilai pasaran tahun 2019,” katanya.

Tambah beliau, pegangan asing pula meningkat dari 37.2 peratus kepada 45.5
peratus.

“Pegangan ekuiti bukan Bumiputera juga jatuh dari 34.8 peratus kepada 25 peratus(namaan 12.3 peratus).

“Bukan sahaja bangsa Melayu tetapi rakyat bukan Bumiputera juga tidak mendapat manfaat terutamanya akibat dari pelaksanaan dasar yang lemah,” tambahnya.

Ujarnya lagi, peratusan pemilikan Tanah Rizab Melayu hanya tinggal 12 peratus dan semakin mengecil.

“Kami risau Tanah Rizab Melayu akan pupus menjelang tahun 2050. Terbaru, tanah rizab Melayu di Kampung Sungai Baru di paksa jual dengan harga yang zalim.

“Dasar-dasar seperti ini merugikan orang Melayu dan tidak akan memberi manfaat dalam memperkukuhkan ekonomi bangsa Melayu yang semakin miskin di bawah pentadbiran kerajaan Melayu.

“Peratusan pembabitan Bumiputera dalam pelbagai industri juga semakin menguncup. Sebagai contoh, peratusan Bumiputera dalam rangkaian pengedar kereta nasional Proton juga telah jatuh kurang dari 20 peratus dari lebih 60 peratus beberapa tahun yang lepas,” ujarnya.

Beliau juga menyebut, pemilikan Bumiputera dalam perusahaan industri kecil pula berjumlah 37 peratus tetapi 88 peratus daripada jumlah itu berada di tahap usahawan mikro iaitu syarikat yang mempunyai jualan kurang dari RM300,000 setahun dan mempunyai kurang dari 5 orang pekerja.

“Bantuan dan penyampaian bantuan yang lebih efektif dan mudah perlu disalurkan kepada perniagaan mikro untuk mengembang dan melonjakkan mereka ke tahap industri kecil,” katanya lagi.

Hal demikian, menurut beliau, Parti Pejuang ditubuhkan bukan untuk melawan rakyat bukan Bumiputera tetapi untuk melawan pemimpin Melayu yang mengamalkan rasuah dan salah guna kuasa.

“Ini tentunya akan memberi manfaat kepada kesejahteraan rakyat keseluruhan dan bukan sahaja kepada bangsa Melayu,” ujarnya.