Malaysia Berinovasi Menuju Negara Berpendapatan Tinggi – PM

Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob

KUALA LUMPUR – Malaysia sedang berinovasi ke arah negara digital yang makmur dan berdaya tahan melalui pendigitalan, terima guna teknologi dan inovasi bagi mencapai pertumbuhan ekonomi yang mapan.

Justeru bagi menyokong tujuan tersebut,kerajaan telah meluluskan sebanyak 99 projek dan program R&D dan C&I dengan kos berjumlah RM5.6 bilion untuk sektor inovasi di Malaysia, bagi tempoh 2021 hingga 2022 di bawah RMKe-12.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, dalam aspek pengkomersialan, sekurang-kurang 50 peratus jumlah perbelanjaan R&D perlu menjurus kepada penyelidikan pembangunan eksperimental,selain melahirkan lebih ramai pencipta teknologi serta usahawan teknologi tempatan bagi menjana kekayaan dan pertumbuhan ekonomi.

“Pada tahun 2025, peratusan perbelanjaan kasar R&D (atau GERD) kepada KDNK negara dijangka mencapai 2.5 peratus, berbanding 1.04 peratus sahaja pada tahun 2018.

“Bagi tujuan ini, sumbangan sektor swasta disasarkan mencapai 70 peratus daripada jumlah perbelanjaan R&D dengan sumber pembiayaan alternatif termasuk modal teroka, pembiayaan antarabangsa dan dana endowmen juga dipertingkatkan,” katanya pada Persidangan Inovasi Malaysia 2022 di Mitec, pada Selasa.

Dalam pada itu, beliau percaya terdapat cabaran berkaitan inovasi yang perlu ditangani Keluarga Malaysia sebelum negara mampu mencapai status negara berpendapatan tinggi.

“Ini termasuklah pelaburan sektor awam dan swasta yang rendah dalam R&D dan C&I berbanding dengan negara- negara maju.

“Contohnya pada tahun 2018, GERD Korea Selatan ialah 4.52 peratus, Jepun 3.22 peratus berbanding 1.04 peratus bagi Malaysia.

“Landskap R&D dan C&I Malaysia juga berbeza dengan negara-negara maju kerana hampir 80 peratus penyelidik di negara ini pada tahun 2018 berada di institusi pengajian tinggi manakala 97.4 peratus usahawan datangnya daripada Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (atau PMKS),” jelas beliau.

Selain itu kata Perdana Menteri lagi, daripada lebih kurang 5,435 syarikat pemula (atau startups) daripada tahun 2010 hingga 2020, hanya lima peratus syarikat pemula adalah berasaskan teknologi.

“Oleh itu, bagi pendekatan jangka pendek dan sederhana, kerjasama dalam kalangan pihak penyelidik dan usahawan perlu dilaksanakan untuk meningkatkan inovasi tempatan.

“Ini sejajar dengan Pelan Hala Tuju Ekosistem Syarikat Pemula Malaysia 2021-2030 atau SUPER yang menyasarkan 5,000 buah syarikat pemula dan lima buah syarikat bertaraf unicorn bernilai lebih USD$1 bilion Amerika Syarikat menjelang tahun 2025,” jelas beliau lagi.

Setakat ini, Malaysia hanya mempunyai sebuah syarikat bertaraf unicorn iaitu CARSOME Sendirian Berhad, kata Perdana Menteri.

“Oleh itu, lebih banyak insentif perlu disediakan bagi mewujudkan lebih banyak syarikat pemula berasaskan teknologi termasuk merangka strategi ekosistem inovasi terbuka bagi merancakkan inovasi negara menerusi penggemblengan idea semua pihak yang terbabit,” kata beliau.

Menurut Ismail Sabri,kerajaan menerusi Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (atau MOSTI) dan Akademi Sains Malaysia sedang membangunkan Malaysian Open Science Platform untuk mempergiatkan perkongsian data antara penyelidik dan industri.

“Bidang keutamaan sains, teknologi dan inovasi negara juga sedang diselaraskan di bawah RMKe-12 melalui Rangka Kerja 10-10 MySTIE dan pembiayaan R&D dan C&I yang bersepadu.

“Tiga buah entiti telah ditubuhkan untuk membangunkan ekosistem inovasi ini iaitu Unit Pengurusan Penyelidikan di bawah UPE JPM untuk menyelaras dan menyusun strategi penyelidikan negara.

“Kedua, Malaysian Research Accelerator for Technology and Innovation di bawah program Pemecut Pengkomersialan Teknologi bertujuan merancakkan aktiviti pengkomersialan antara akademia dan industri; dan ketiga, Malaysian Science Endowment di bawah seliaan MOSTI dan Akademi Sains Malaysia yang akan mewujudkan pembiayaan alternatif R&D dan C&I melalui kerjasama industri dan badan antarabangsa,” katanya.

Menurut beliau, ketiga-tiga entiti perlu bekerjasama untuk memastikan hasil R&D dan C&I serta harta intelek menjadi produk nilai tambah yang tinggi, sekali gus meletakkan Malaysia sebaris dengan negara maju berteraskan inovasi seperti Korea Selatan, Switzerland dan Singapura,” ucap beliau.