Gadis Jolobu ketengah keunikan adat, budaya

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Mempertaruhkan filem bahasa Melayu kedua, Pengasas Zebra Studio dan Pengarah, CL Hor optimis filem dialek Negeri Sembilan, Gadis Jolobu The Movie bakal menerima sambutan positif penonton.

Ia susulan sambutan luar biasa filem Mat Kilau Kebangkitan Pahlawan arahan Syamsul Yusof, sekali gus memberi petanda perkembangan baik buat industri perfileman tempatan.

CL Hor berkata, dia percaya filem memaparkan keunikan adat dan budaya Malaysia juga mampu berdiri setanding dengan filem bergenre lain.

 

“Gadis Jolobu, filem adat dan budaya yang berwarna-warni dengan sinematografi persekitaran kampung. Ditambah pula, elemen komedi untuk menambahkan perisa memperkenalkan Malaysia di mata dunia.

“Jujurnya, saya sudah lama mengimpikan menghasilkan filem budaya tempatan sebab saya selalu melihat Malaysia mempunyai banyak tarikan lokasi yang cantik.

“Saya berpeluang menjayakan penggambaran di kawasan kampung, ia seperti impian menjadi kenyataan menerusi filem Gadis Jolobu.

“Saya juga membawakan ‘feel’ kampung ke layar perak agar dapat memperkenalkan lokasi Malaysia di mata dunia.

“Menerusi karya komersial terdahulu, saya selalu mengetengahkan budaya tempatan, jadi itu juga yang ditonjolkan dalam filem Gadis Jolobu The Movie,” katanya kepada BH Online.

Projek mega dimeterai syarikat hiburan terkemuka Asia Pasifik, Tremendous Entertainment dan Zebra Studio Sdn Bhd itu diterajui pelakon, penyanyi dan pelawak berpengalaman seperti Datuk Hattan, Khir Rahman, Joey Daud serta memperkenalkan bintang baharu yang juga pengacara, Ahirine Ahirudin.

Meskipun berbangsa Cina, CL Hor berkata, tidak sukar untuknya memahami dialek Negeri Sembilan selepas membaca skrip berulang kali.

“Saya membaca skrip berulang kali dan penulis skrip juga ada melakukan terjemahan. Jadi, tidak susah untuk difahami.

“Namun, di sebalik dialek, saya juga banyak menggunakan bahasa tubuh agar ia lebih mudah difahami penonton. Jadi, jika tak faham bahasa pun penonton boleh ketawa melihat gelagat pelakon.

“Saya membawa persembahan pentas ke dalam filem komedi untuk tujuan ini,” katanya.

 

Pengarah, CL Hor percaya filem memaparkan keunikan adat dan budaya Malaysia juga mampu berdiri setanding dengan filem bergenre lain.
Pengarah, CL Hor percaya filem memaparkan keunikan adat dan budaya Malaysia juga mampu berdiri setanding dengan filem bergenre lain.

 

Melihat banyak wajah baharu menerusi filemnya, CL Hor menjelaskan, hasrat untuk memberi peluang kepada pelakon baharu selaras dengan sasaran Zebra Studios Sdn Bhd yang mahu mengetengahkan bakat baharu.

“Saya bertuah mempunyai penerbit dan rakan kerja yang percaya kepada saya untuk mengetengahkan bakat baharu. Industri perfileman Malaysia patut memberi peluang kepada pelakon muda.

“Janganlah melihat pelakon popular seperti Datuk Adi Putra sahaja yang mampu mengangkat filem tempatan. Jadi, saya mengambil risiko dan percaya boleh melatih bintang baharu menjadi pelakon lebih baik.

“Saya gembira melihat hasilnya menerusi filem Gadis Jolobu The Movie. Semua orang suka melihat lakonan bakat baharu dalam filem ini,” katanya.

Sementara itu, Pengasas Bersama Zebra Studio dan Penerbit Eksekutif, Saraleana Nattaya Azmi, berkata pihaknya juga merancang untuk melakukan wayang pacak filem Gadis Jolobu sekitar Negeri Sembilan, September depan selepas tayangan di pawagam.

Kata Sara, filem Gadis Jolobu dihasilkan bagi menggamit semula memori filem komedi arahan Seniman Agung, Allahyarham Tan Sri P Ramlee yang sehingga kini masih segar dalam ingatan penonton.

“Kami mahu bawa balik filem P Ramlee seperti nyanyian dalam dalam filem. Menerusi filem Gadis Jolobu, kita boleh lihat sisi Hattan yang berbeza, daripada lantang bersuara, beliau menyanyi dan melawak.

“Meskipun filem Gadis Jolobu mengetengahkan dialek tempatan, tetapi pihaknya berhasrat membawanya hingga ke pasaran global.

“Selepas tayangan di Malaysia, filem Gadis Jolobu akan dibawa ke Brunei Darussalam, Indonesia dan Thailand.

“Saya percaya filem Gadis Jolobu mampu menarik perhatian orang luar dan tempatan lebih menghargai kecantikan Malaysia.

“Kami menghasilkan filem dialek untuk membawa kandungan tempatan ke peringkat global. Jadi, mengapa CL Hor banyak mengetengahkan sinematografi cantik dengan memperlihatkan kawasan kampung dan sawah padi sebab apabila filem ini ditayangkan di Thailand dan Brunei, mereka boleh melihat kecantikan lokasi di Malaysia,” katanya.

 

Hattan dan Ahirine menjadi bintang utama filem Gadis Jolobu The Movie yang menemui penonton di pawagam pada 4 Ogos ini.
Hattan dan Ahirine menjadi bintang utama filem Gadis Jolobu The Movie yang menemui penonton di pawagam pada 4 Ogos ini.

 

Tidak hanya itu, Saraleana berkata, pihaknya juga mahu menonjolkan identiti Malaysia yang mempunyai pelbagai dialek.

“Ia secara tak langsung menarik orang asing berkunjung ke Malaysia. Disebabkan itu, kami tidak meletakkan elemen sensitif seperti politik dan sebagainya,” katanya.

Cl Hor dan Saraleana ditemui pada majlis tayangan filem Gadis Jolobu The Movie di GSC Starling Mall, baru-baru ini.

Pun begitu, Saraleana berkata, pihaknya tidak meletakkan harapan tinggi biarpun filem Mat Kilau Kebangkitan Pahlawan berjaya meraih kutipan lebih RM90 juta.

“Insya-Allah, filem Gadis Jolobu ada potensi, tetapi sebagai penerbit, saya tidak mahu mengatakan filem ini boleh mencapai angka besar.

“Bohonglah jika tidak mengharapkan filem Gadis Jolobu pecah panggung, namun, tidaklah meletakkan harapan meraih kutipan puluhan juta.

“Saya tahu ramai mungkin membandingkan dengan filem Mat Kilau, tetapi genrenya berbeza. Bajetnya pula lebih rendah sebanyak RM2.5 juta.

“Disebabkan itu, saya tidak mahu tertekan memikirkan sejauh mana filem Gadis Jolobu ini boleh pergi jauh,” katanya.

Filem Gadis Jolobu menjalani penggambaran di Kampung Lonek, Negeri Sembilan pada 2 Mac lalu.

Ia memaparkan kisah tiga bujang terlajak yang rapat sejak kecil dalam usaha mencari jodoh di kampung halaman.

Sumpahan ‘lambat sunat, lambatlah kahwin’ sering bermain di fikiran membuatkan mereka berusaha mencari jodoh walaupun menghadapi pelbagai dugaan.

Filem Gadis Jolobu The Movie akan menemui penonton di pawagam GSC di seluruh negara pada 4 Ogos ini, manakala platform Over-The-Top (OTT), Get PLAY tidak lama lagi.

Berita harian

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat