KUALA LUMPUR- Majlis Presiden Pakatan Harapan (PH) tidak bersetuju dengan cadangan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob untuk melaksana semula sistem percukaian Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST).

Menurut PH, dalam keadaan inflasi yang semakin tinggi, rakyat sangat terkesan dengan kenaikan kos sara hidup serta pendapatan isi rumah yang berkurangan akibat pandemik COVID-19.

“Pengenalan semula GST bakal mengakibatkan harga barang meningkat dengan mendadak.

“Jika ditambah dengan masalah rantaian bekalan serta gaji yang tidak meningkat, rakyat akan menerima tekanan yang amat dahsyat,” katanya dalam kenyataan semalam.

Menurut PH, pada ketika persepsi tata kelola serta urus tadbir kerajaan belum pulih akibat skandal 1MDB, tatkala Malaysia berada di kedudukan ke-62 dalam indeks persepsi rasuah Transparency International serta kedudukan ke-2 dalam indeks kapitalisme kroni (crony-capitalism index) The Economist, adalah tidak munasabah Kerajaan bercadang untuk mengutip lebih banyak cukai dari rakyat tanpa membuktikan dahulu reformasi dan penambahbaikan urus tadbir Kerajaan telah berjaya dilaksana.

“Tiada guna mengutip lebih banyak cukai jika akhirnya nanti duit rakyat dibazirkan akibat rasuah, ketirisan dan kronisme.

“Perdana Menteri juga perlu diingatkan bahawa majoriti rakyat Malaysia telah menolak GST dalam pilihan raya yang lalu.

“Oleh itu, PH tidak bersetuju dengan cadangan memperkenal semula cukai GST selagi pelbagai isu ini terus membelenggu rakyat,” ujarnya.

Kelmarin, Ismail Sabri dalam wawancara bersama agensi Nikkei di Jepun berkata, Malaysia mempertimbangkan untuk memperkenalkan semula sistem cukai GST.

Ia sebagai satu langkah untuk menangani inflasi dalam negara yang ketika ini mengambil keputusan memansuhkan permit import (AP) bagi beberapa komoditi selain turut melaksanakan larangan eksport ayam.

Pada 2015, pentadbiran UMNO di bawah pimpinan Datuk Seri Najib Razak melaksanakan GST.

Bagaimanapun, selepas tiga tahun ia dilaksanakan, pentadbiran kerajaan PH pimpinan Tun Dr Mahathir Mohamad memansuhkan sistem cukai tersebut selepas berjaya menumbangkan UMNO pada Pilihan Raya Umum ke-14, di mana rata-rata pengundi mengatakan kadar 6 peratus GST menyebabkan peningkatan kos.