Hattan jogging, berlatih 12 jam sebelum konsert

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Menjelang penganjuran konsert berskala mega, Hattan 35 Years Journey, penyanyi otai, Datuk Hattan mahu fokus untuk lebih memantapkan stamina menerusi aktiviti riadah.

Selain berjogging, Hattan atau nama sebenarnya, Mohd Shukri Shahabudin melakukan latihan intensif bagi memastikan konsert itu bukan sahaja menghiburkan, malah, menghadiahkan kenangan terindah buat penonton.

“Saat ini, saya tidak sabar mahu beraksi di konsert berskala besar. Hati sangat teruja setiap kali nak datang studio untuk melakukan latihan.

“Ketika ini, fokus saya memantapkan stamina. Setiap hari, saya akan berjogging sejauh 5 kilometer.

“Untuk sesi latihan, saya dan pemuzik akan menghabiskan masa selama 12 jam di studio. Kami akan ikut ‘flow’ konsert sebenar,” katanya kepada BH Online.

Tambah Hattan, walaupun ada yang menganggap risiko untuk seseorang artis menerima undangan persembahan ketika mahu menjayakan konsert berskala besar, namun, dirinya berpendapat sebaliknya.

“Masa musim perayaan tempoh hari, saya tetap buat show. Saya anggap persembahan juga satu bentuk promosi untuk konsert solo saya.

“Saya juga menjadikan persembahan seperti sesi raptai sebelum konsert sebenar. Ini kerana saya perlu mendendangkan empat hingga lima lagu setiap kali persembahan,” ujarnya.

 

Hattan bersama barisan pemuzik menghabiskan masa selama 12 jam berlatih di studio, setiap hari.

 

Konsert Hattan 35 Years Journey dibawa Mewah Event Management bakal diadakan selama dua malam di Plenary Hall, Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC), jam 8 malam, Sabtu dan Ahad ini.

Menerusi konsert berdurasi lebih dua jam, Hattan akan mempersembahkan 28 lagu. Antaranya, Rendang Tak Berbuah, Mahligai Syahdu, Meniti Perjalanan, Arca, Aku Dan Kenangan, Dari Kekasih Kepada Kekasih, Biso Bonar, Gadis Jolobu dan banyak lagi.

Bersesuaian dengan konsep konsert yang menceritakan pengalaman lebih tiga dekad berkelana sebagai anak seni, penyanyi kelahiran Seri Menanti, Negeri Sembilan itu mahu mengajak peminat untuk bernostalgia bersamanya.

“Selama lebih dua jam, saya mahu mengajak peminat mengimbau semula zaman lampau dari mula saya bergelar penyanyi sehingga hari ini.

“Banyak lagu menarik yang boleh membuai jiwa penonton akan didendangkan. Nak lelapkan mata pun boleh.

“Paling menarik adalah lagu bagi segmen tribute buat penyanyi dan komposer tersohor, Datuk M Nasir. Kiranya konsert ini bagaikan satu himpunan buat mereka yang cukup dekat dengan saya seperti pemuzik, rakan artis dan peminat,” ungkapnya.

Tiket menyaksikan Konsert Hattan 35 Years Journey pada Ahad ini sudah pun habis dijual, manakala tiket untuk malam sebelumnya masih ada.

Maklumat pembelian tiket boleh didapati menerusi laman seswang http://ilassotickets.com/event/hattan-35-years-journey.

Berita Harian

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat