KUALA LUMPUR – Ketua Penerangan Bersatu Datuk Tun Faisal Ismail Aziz mengingatkan, Ketua Whip Dewan Rakyat Bersatu Datuk Seri Dr Ronald Kiandee Ronald Kiandee bahawa bukan tugasnya untuk menentukan siapa sebagai Ketua Pembangkang.
Hal ini katanya, kerana Ronald Kiandee dan Ahli-ahli Parlimen terbabit masih Ahli Parlimen Bersatu dan Perikatan Nasional (PN) yang terikat serta wajib mematuhi keputusan-keputusan dasar parti dan PN.
Malah tegas Tun Faisal, jawatan Ronald Kiandee sebagai Ketua Whip Bersatu juga adalah atas mandat Presiden dan parti Bersatu.
“Ahli Parlimen Larut (Datuk Seri Hamzah Zainudin) telah dipecat daripada Bersatu pada 13 Februari 2026, dan keputusan Mesyuarat Majlis Presiden dan Mesyuarat Luar Biasa Majlis Tertinggi PN 22 Februari 2026 memutuskan jawatan Ketua Pembangkang telah dikosongkan dan Pas perlu menamakan calon Ketua Pembangkang baharu daripada Pas.
“Keputusan dasar PN ini mengakibatkan Larut tidak lagi mempunyai locus standii untuk mewakili Bersatu atau PN dan statusnya kini sebagai Ahli Parlimen Bebas.
“Perlu diingatkan bahawa Ahli Parlimen Bersatu masih terikat dengan keputusan-keputusan dasar BERSATU dan PN, termasuk Perlembagaan BERSATU, Perkara 10.4:
Mana‑mana ahli BERSATU yang merupakan wakil rakyat di Dewan Rakyat atau Dewan Undangan Negeri yang melakukan ketidakpatuhan terhadap apa‑apa arahan yang dikeluarkan oleh Majlis Pimpinan Tertinggi selari dengan Fasal 10.5 adalah disifatkan sebagai terhenti keahliannya dari parti BERSATU secara serta‑merta.”
“Akta Lompat Parti 49A(1) – “Tertakluk kepada peruntukan Perkara ini, seseorang ahli Dewan Rakyat hendaklah terhenti menjadi ahli Dewan itu dan kerusinya hendaklah menjadi kosong sebaik sahaja suatu tarikh kekosongan luar jangka dipastikan oleh Yang di‑Pertua di bawah Fasal (3) jika—setelah dipilih ke Dewan Rakyat sebagai anggota suatu parti politik- dia melepaskan keanggotaan parti politik itu; atau dia tidak lagi menjadi anggota parti politik itu.
“Bagi Ahli Parlimen Bersatu yang beragama Islam, mereka wajar diingatkan juga tentang lafaz sumpah dan baiah mereka bahawa mereka perlu patuh kepada Perlembagaan parti dan mengikuti dasar perjuangan parti serta mematuhi arahan parti selagi tidak bercanggah dengan ajaran Islam,” kata Tun Faisal.
Sebelum itu, Ronald Kiandee memaklumkan, seramai 13 Ahli Parlimen Bersatu menyokong mengekalkan Hamzah sebagai Ketua Pembangkang.
Perkara itu Ronald Kiandee dimaklumkan melalui surat bertarikh 24 Februari lalu kepada Ketua Whip Perikatan Nasional (PN), Datuk Seri Takiyuddin Hassan.
“Antara 13 Ahli Parlimen yang menyokong adalah Datuk Mas Ermieyati Samsudin (Masjid Tanah), Datuk Seri Ikmal Hisham Abdul Aziz (Tanah Merah), Datuk Rasol Wahid (Hulu Terengganu), Datuk Ku Abd Rahman Ku Ismail (Kubang Pasu), Datuk Muslimin Yahaya (Sungai Besar).
“Datuk Abdul Khalib Abdullah (Rompin), Datuk Khir Mohd Nor (Ketereh), Zakri Hassan (Kangar), Roslan Hashim (Kulim Bandar Baharu), Komander (B) Nordin Ahmad Ismail (Lumut), Kalam Salan (Sabak Bernam) dan Islahuddin Abbas (Mersing),” katanya.



