LMAG – Pengiktirafan Komanwel terhadap Perkembangan Reformasi Undang-undang di Malaysia

- Advertisement -

Oleh: Shah Johan

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi), Dato’ Sri Azalina Othman Said telah dilantik sebagai salah satu daripada tiga wakil rantau Asia-Pasifik ke Kumpulan Tindakan Menteri Undang-undang Komanwel (LMAG). Perkara ini merupakan periktirafan negara-negara Komanwel terhadap komitmen Malaysia dalam melaksanakan agenda reformasi undang-undang sekaligus menjadi rujukan kepada dunia selain daripada kejayaan Malaysia di dalam arena perundangan antarabangsa.

Pelantikan ini telah diumumkan oleh Jabatan Peguam Negara yang turut menekankan komitmen Malaysia dalam membentuk prinsip keadilan dan kedaulatan undang-undang di peringkat antarabangsa.

LMAG yang merupakan hasil daripada perbincangan Mesyuarat Pegawai Kanan Menteri Undang-undang dan Mesyuarat Menteri Undang-undang Komanwel di Mauritius sebelum ini merupakan satu platform yang kritikal untuk mengawasi kemajuan piawaian undang-undang di seluruh Komanwel. Kehadiran Malaysiua bukan sekadar satu penghormatan tetapi ia turut mencerminkan dedikasi negara untuk memperjuangkan reformasi undang-undang dan keadilan, selaras dengan perkembangan antarabangsa.

Pelantikan Dato’ Sri Azalina juga adalah berdasarkan kepakaran dan pengalaman beliau sebagai pengamal undang-undang yang sedang menerajui reformasi undang-undang dan institusi di dalam negara selain kejayaan beliau di pentas perundangan antarabangsa. Pelantikan ini juga mencerminkan kesediaan dunia untuk mendengar, menilai, dan merujuk pengalaman Malaysia dalam membentuk rangka perbincangan dalam pembentukan undang-undang di seluruh dunia, selaras dengan matlamat antarabangsa, terutamanya Matlamat Pembangunan Lestari.

Bidang fokus Malaysia di dalam reformasi undang-undang, khususnya dalam soal meningkatkan hak asasi manusia, ketelusan, dan tadbir urus adalah sejajar dengan objektif LMAG. Penekanan perkumpulan ini adalah untuk mempromosikan pencapaian sasaran Matlamat Pembangunan Lestari di kalangan negara-negara anggota amat bertepatan dengan agenda reformasi Malaysia. Penglibatan Dato’ Sri Azalina di dalam konteks ini adalah penting dalam memandu dialog ke arah keberhasilan yang lebih baik serta membentuk kerangka pelaksanaan yang jelas.

Cabaran yang dihadapi oleh sistem perundangan masa kini adalah kompleks dan melampaui sempadan negara. Ia memerlukan pendekatan kolektif untuk mencari penyelesaian yang lebih menyeluruh serta berupaya memenangkan semua pihak. Melalui perkumpulan ini, Malaysia juga berupaya untuk menyebarluas pengaruh diplomatik dalam usaha untuk membentuk polisi global yang naik pembangunan negara disamping memperkukuh kedaulatan negara.

Kolaborasi ini diperlihatkan melalui keanggotaan LMAG yang pelbagai, termasuk negara-negara seperti Tanzania, Namibia, dan Mauritius, yang mana masing-masing membawa perspektif unik ke dalam perbincangan yang bakal berlaku. Keterlibatan aktif Malaysia dalam forum ini merupakan peluang bukan hanya untuk berkongsi kejayaannya tetapi juga untuk menyerap pengajaran dari lanskap perundangan yang berbeza ini. Pertukaran idea dan amalan ini memperkaya wacana global mengenai reformasi undang-undang.

Beberapa langkah penting yang sedang diambil oleh Malaysia untuk melaksanakan reformasi perundangan adalah selaras dengan mandat Komanwel dalam bidang hak asasi manusia dan keadilan turut mencerminkan komitmen negara. Sebagai contoh, RUU pindaan terhadap Akta Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia 1999 [Akta 597] telah berjaya mendapat kelulusan bacaan kedua di Dewan Rakyat baru-baru bertujuan untuk memperkasa peranan SUHAKAM di dalam penjagaan hak asasi manusia, terutamanya untuk wanita, orang kurang upaya dan kanak-kanak. Ini turut disokong oleh pindaan terhadap Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak 2017 [Akta 792] dan Akta Bukti Saksi Kanak-kanak 2007 [Akta 676], yang bertujuan menghapuskan halangan bagi kanak-kanak dalam memberikan bukti. Rancangan untuk menghapuskan keperluan pengesahan mandatori bagi bukti kanak-kanak dan memperkenalkan proses pendengaran pra-perbicaraan menandakan perubahan progresif ke arah sistem keadilan yang lebih adil bagi kanak-kanak.

Selain itu juga, Malaysia juga sedang di dalam fasa kajian terhadap Akta Kebebasan Maklumat sebagai langkah menuju ketelusan yang lebih signifikan melalui penglibatan awam dalam pembentukan dasar negara. Inisiatif ini selaras dengan perkembangan global menuju ke arah pentadbiran terbuka. Ini turut mencerminkan dedikasi Malaysia untuk memberdayakan rakyatnya melalui akses kepada maklumat.

Malaysia juga turut mengakui pentingnya mediasi dan arbitrasi dalam menyelesaikan pertikaian. Penubuhan Pusat Mediasi yang dirancang menandakan langkah strategik untuk menerima kaedah penyelesaian pertikaian alternatif, menunjukkan pendekatan Malaysia terhadap cabaran undang-undang kontemporari.

Melalui penglibatan di dalam LMAG ini juga, Malaysia berada di dalam kedudukan yang terbaik untuk turut mempengaruhi negara jiran, berpotensi mencetuskan gelombang reformasi undang-undang dan institusi di seluruh rantau. Ini bukan hanya meningkatkan status Malaysia sebagai pemimpin serantau tetapi juga mendorong pendekatan yang lebih harmoni terhadap keadilan dan tadbir urus di Asia-Pasifik. Kesan berantai inisiatif ini boleh membuka jalan bagi suasana perundangan yang lebih adil dan saksama, memberi manfaat kepada jutaan orang di seluruh rantau ini.

Kesimpulannya, peranan Malaysia di dalam LMAG, yang diwakili oleh Dato’ Sri Azalina, menandakan langkah penting dalam perjalanan negara ke arah kecemerlangan undang-undang dan kolaborasi antarabangsa. Peranan ini adalah bukti kepada usaha Malaysia yang tidak berbelah bagi dalam usaha mempertingkatkan proses keadilan dan serta meluaskan pengaruh dalam pembentukan kerangka undang-undang antarabangsa di masa hadapan.

 Penulis ialah Pemerhati Undang-undang

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat