KUALA LUMPUR – Syarikat minyak dan gas milik Sarawak, Petroleum Sarawak Bhd (PETROS) kini menjadi agregator gas tunggal di negeri itu.
Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Abang Openg, berkata ia berikutan PETROS dan PETRONAS telah mencapai resolusi bersama berkaitan urusan pengagihan gas.
Beliau berkata, keputusan itu dimaklumkan oleh pihak PETRONAS kepada Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak, Datuk Seri Julaihi Narawi.
“Hari ini, perkara itu sudah diselesaikan apabila PETRONAS pada dasarnya bersetuju serta mencapai resolusi berkaitan pengambilalihan dan mereka sudah memaklumkannya kepada Datuk Seri Julaihi, walaupun bukan pemakluman secara rasmi.
“Ini bermakna Sarawak meneruskan usaha sebagai agregator gas tunggal di Sarawak, namun formula lengkap akan dibincangkan lebih lanjut,” katanya kepada media selepas mengadakan kunjungan sempena sambutan Deepavali di kediaman Presiden Persatuan Perubatan Malaysia (MMA), Datuk Dr Kalwinder Singh Khaira di Kuching, semalam.
Kerajaan Sarawak sebelum ini memutuskan bahawa PETROS akan mengambil alih peranan dalam semua aktiviti jual beli gas asli di negeri itu bermula 1 Julai lalu, namun PETRONAS meminta penangguhan pelaksanaan pengambilalihan itu kerana pengagihan gas ke Loji LNG di Bintulu akan terjejas.
Susulan itu, kerajaan Sarawak memberi tempoh lanjutan tiga bulan kepada PETRONAS untuk memuktamadkan susunan penyeliaan pengagihan gas di Sarawak dengan PETROS dan tempoh itu berakhir bulan ini.
Sementara itu, Abang Johari berkata, beliau turut membincangkan mengenai industri pemerangkapan, penggunaan dan penyimpanan karbon (CCUS) dengan Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli.
Beliau berkata, perbincangan itu diadakan berikutan kerajaan Persekutuan akan memperkenalkan undang-undang baharu berkaitan CCUS yang akan dibentangkan di Parlimen, Disember ini.
Katanya, Sarawak mempunyai undang-undang sendiri berhubung CCUS dan perlu diharmonikan apabila kerajaan Persekutuan menggubal undang-undang sama.
“Apabila Kerajaan Persekutuan memperkenalkan undang-undang itu, kita perlu mengharmonikan dengan undang-undang yang sedia ada di Sarawak.
“Ini bermaksud undang-undang yang akan dibentangkan di Parlimen akan memberi penekanan kepada kepentingan Persekutuan, khususnya mengenai pengangkutan karbon merentas sempadan ke Sarawak,” katanya memetik laporan media di Kuching, semalam.
Abang Johari berkata, apabila karbon itu sampai di Sarawak dan disimpan di perut bumi Sarawak, maka ia perlu mematuhi undang-undang negeri.
“Pengangkutan antarabangsa di bawah (kerajaan) Persekutuan kerana mereka menandatangani protokol London dan kerajaan Sarawak pula menguatkuasakan undang-undang apabila karbon itu disimpan di Sarawak, jadi dengan cara itu kita mengharmonikan dua undang-undang berkaitan,” katanya.