KUALA LUMPUR – Pas mencadangkan nama Pertubuhan Peladang Kebangsaan (NAFAS) ditukar nama kepada ‘LEMAS’ singkatan kepada Lembaga Agih dan Suap.
Ketua Penerangan Pas, Ahmad Fadhli Shaari dipercayai menyindir sedemikian susulan pengumuman Ketua Pengarah Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP), Amir Matamin hari ini yang mengantung perlembagaan NAFAS berkuat kuasa hari ini, 1 Nov 2024.
“Tukarkan nama NAFAS kepada Lemas (Lembaga Agih dan Suap),” sindir Ahli Parlimen Pasir Mas itu di Facebooknya pada Jumaat.
Hari ini, LPP bertindak menggantung perlembagaan NAFAS selepas didapati berlaku ketidakharmonian dan konflik dalaman pertubuhan membabitkan Ahli Jemaah Pengurusan (AJP) pertubuhan itu.
Menurut Amir Matamin, Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM), Datuk Seri Mohamad Sabu sebelum ini telah mengeluarkan perintah terhadap NAFAS untuk memperbaiki tadbir urus dan tatakelola dalam tempoh lapan bulan sebelum ini.
Katanya, dalam tempoh perintah ini, telah berbangkit isu-isu yang menjurus kepada konflik dan ketidakharmonian dalaman.
“Antara ketidakharmonian yang berlaku adalah terdapat Ahli Jemaah Pengarah belakangi keputusan pendaftar dengan bertindak sendiri sebelum merujuk kepada pendaftar.
“Sehubungan itu, satu perintah penggantungan Nafas berkuat kuasa hari ini dikeluarkan,” katanya pada sidang media di Menara LPP, hari ini.
Bagaimanapun, Amir berkata, NAFAS mempunyai hak untuk merayu kepada Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan dalam tempoh 30 hari dari tarikh perintah tersebut.
Jelasnya, semasa tempoh penggantungan, NAFAS akan diuruskan dan ditadbir oleh pentadbir.
“Oleh itu, NAFAS masih terus beroperasi seperti biasa dengan kakitangan dan pegawai sedia ada,” katanya.
Amir menjelaskan, AJP NAFAS tidak dipecat, namun perlu menyerahkan kuasa sementara kepada pentadbir selama mana tempoh pergantungan berlangsung.
“Tiada ketetapan tempoh penggantungan ini berlaku, mungkin sebulan atau tiga bulan dan boleh jadi setahun, mengikut arahan seterusnya daripada,” katanya.