KUALA LUMPUR – Datuk Seri Mohamed Azmin Ali menafikan dakwaan Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Wan Saiful Wan Jan berhubung video intim yang mengaitkan dirinya pada 2019.
Setiausaha Agung Bersatu itu berkata, Wan Saiful dilihat gagal bersandarkan ilmu dan fakta apabila mengeluarkan kenyataan fitnah dalam sidang akhbar, kelmarin.
Beliau menyifatkan pihak tersebut bergelumang dengan fitnah apabila sanggup membangkit semula tuduhan yang tidak munasabah itu.
“Mereka hidup dengan fitnah. Kita bersandarkan ilmu dan fakta. Tenang melangkah maju. Perjuangan pasti ada cabaran. Ikhlas dan jujur berkhidmat walau di mana sekali pun,” lapor Utusan.
Kelmarin, Wan Saiful mendakwa Azmin tidak layak menjadi pemimpin Bersatu ekoran isu moral yang mengaitkan satu video intim di Sandakan, Sabah pada enam tahun lalu.
Katanya, perkara itu mengubah pendirian beliau terhadap Azmin meskipun mengakui pernah menjadi orang kuat Setiausaha Agung Bersatu itu.
“Selepas konvensyen (Bersatu) tahun lepas, saya terima maklumat baharu yang mendakwa siasatan forensik ke atas video intim yang dikatakan membabitkan Azmin Ali di Sandakan mengesahkan video itu adalah tulen,” katanya dalam sidang akhbar.
Ketika ditanya hubungan beliau dengan pemimpin Pas lain, Adun Hulu Kelang itu menegaskan, hubungan beliau dengan Pas sama ada di peringkat Selangor atau Pas Pusat berada dalam keadaan terbaik.
“Alhamdulillah (Pas) Selangor dan Pusat amat mantap,” ulasnya ringkas.
Dalam pada itu, veteran Bersatu dan juga antara pengasas parti, Datuk Seri Mohd Redzuan Md. Yusof berkata, pemimpin bersatu khususnya Presiden, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan timbalannya, Datuk Seri Hamzah Zainuddin perlu duduk berbincang dalam mencari penyelesaian dengan gerak supaya ia merebak dengan lebih parah ke peringkat akar umbi.
“Ya, gerakan ini perlu disertakan sekali dengan pemimpin lain seperti Azmin untuk gerak bersama ke akar umbi untuk memberi penerangan tentang apa yang berlaku kerana kita adalah government in waiting (kerajaan menunggu).
“Dalam masa yang sama saya juga tidak boleh nafikan ada unsur perpecahan yang ditaja oleh orang luar parti. Apa pun yang saya boleh katakan, apa yang dibuat oleh Wan Saiful sudah pasti memecah-belahkan parti,” ujarnya memetik akhbar itu.
Katanya, beliau sebagai di antara pemimpin yang mengasaskan parti Bersatu kecewa dengan tindakan segelintir pihak yang tidak memperkukuh parti seperti mana yang dibawa pada peringkat awal.
“Sebenarnya sudah cantik kita tubuhkan Bersatu, tetapi apabila dua kem masuk iaitu Umno dan PKR, kita harap ia akan memperkasakan parti lagi, tetapi bila ada percaturan tertentu daripada pengaruh luar, ia tidak sama seperti yang diharapkan.
“Saya amat kecewa,” ujarnya.



