Oleh Zihan Zari
PUTRAJAYA – Setelah 34 tahun menabur bakti dan mengabdikan diri dalam dunia pendidikan, Ketua Pengarah Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti, Dato’ Dr. Hj. Mohd Zahari Ismail mengakhiri perkhidmatan beliau pada 30 September sebelum bersara wajib mulai 1 Oktober 2025.
Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej komuniti (JPPKK) Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) dalam kenyataannya memaklumkan Mohd Zahari anak jati dari Taiping, Perak memulakan tugas sebagai guru pada 1991 di salah sebuah sekolah menengah di Sarawak dan berpindah ke sekolah teknik di Pulau Pinang.
“Setelah menamatkan pengajian di peringkat PhD di University of Hull, United Kingdom, beliau diberi peluang untuk memegang beberapa jawatan penting di beberapa politeknik seperti Politeknik Balik Pulau (PBU), sebelum dilantik sebagai Pengarah Politeknik Tuanku Syed Sirajuddin (PTSS) dan Politeknik Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah (PSA).
“Pada tanggal 16 November 2022, beliau telah diberikan kepercayaan KPT bagi menerajui JPPKK sebagai Ketua Pengarah sehingga ke hari ini, ”kata kenyataan itu.
Katanya, pelbagai kejayaan telah dilakar sepanjang beliau memegang jawatan tersebut antaranya pelan Transformasi Politeknik 2.0 yang dilancarkan pada 2023 oleh Timbalan Perdana Menteri.
“Pelbagai inisiatif dibawa menerusi pelan tersebut seperti penstrukturan semula organisasi, penawaran program Asasi Teknologi Kejuruteraan (dahulunya Asasi TVET), membangun pusat berteknologi tinggi, menjadikan Politeknik Ungku Omar (PUO) sebagai Politeknik APEX dan banyak lagi di bawah Transformasi Politeknik 2023-2030.
“Menerusi pendekatan 4K yang telah diperkenalkan beliau iaitu kebajikan , kerohanian , keberkatan dan kesihatan , JPPKK telah berjaya menubuhkan Pertubuhan Muafakat Ibu Pejabat Politeknik dan Kolej Komuniti (POLYCC) sebagai usaha awal ke arah penubuhan Yayasan POLYCC, ”katanya lagi.
Ujarnya, pertubuhan tersebut berperanan dalam memelihara kebajikan kepada warga POLYCC termasuk pensyarah, pelajar dan staf sokongan.
Ujarnya lagi, hasil daripada sumbangan dana pelbagai pihak, Pertubuhan Muafakat telah melunaskan tanggungjawabnya
menerusi penyaluran bantuan kepada warga yang memerlukan dan menghadapi kesukaran.
“Pelbagai lagi kejayaan telah dicipta di bawah kepimpinan Mohd Zahari yang penuh dengan integriti, mengispirasi dengan visi dan berkhidmat dengan sepenuh jiwa bersama-sama dengan pasukan di JPPKK.
“Warga POLYCC menzahirkan penghargaan dan terima kasih buat beliau atas legasi, kepimpinan dan jasanya yang tidak ternilai, ”tambah kenyataan itu. – SUARA.TV



