KUALA LUMPUR – Isu Rang Undang-Undang Pembaharuan Semula Bandar (RUU PSB) ini bukan isu kaum ia sebaliknya adalah isu kelas.
Ahli Parlimen Pasir Gudang Hassan Karim menjelaskan, RUU PSB ialah pertentangan antara kelas rakyat miskin semua kaum dengan kelas rakyat kaya.
“Penghuni rumah-rumah pangsa terdiri daripada rakyat golongan bawahan pelbagai kaum manakala para pemaju projek pembaharuan bandar merupakan kelas kapitalis kaya.
“Kerajaan menjadi golongan tengah pemudahcara yang pada ketika RUU PSB dalam keadaan sekarang ini lebih condong memihak kepada golongan kelas kapitalis kaya,” katanya dalam hantaran di Fcaebook pada Rabu.
Ahli Parlimen PKR itu mengingatkan, jika Kerajaan Madani ini benar-benar kerajaan yang memihak Kepada rakyat jelata yang miskin, berpendapatan rendah, golongan bawahan yang benar-benar memerlukan sebuah rumah untuk kehidupan keluarga mereka maka lakukanlah pindaan ke atas RUU PSB yang ada sekarang seperti yang beliau cadangkan.
“Saya ada satu cadangan untuk bantu Kerajaan Madani mendapat sokongan majoriti di Dewan Rakyat bagi meluluskan RUU PSB pada sidang parlimen 6 Oktober ini. Kerajaan hanya perlu melakukan beberapa pindaan ke atas RUU PSB tersebut.
“Bagi projek pembangunan semula Bandar yang melibatkan perobohan rumah untuk dibina rumah yang baru maka hendaklah – pemilik menerima rumah baru tanpa apa-apa bayaran. Satu rumah lama dapat satu rumah baru.Ini bagi memastikan pemilik tidak terbeban dengan hutang baru.
“Ambang persetujuan bagi projek melibatkan perobohan rumah untuk dibangunkan rumah baru hendaklah kekal 100 peratus kerana ketika pemilik membeli rumah mereka dahulu, mereka terikat dengan undang-undang perumahan sedia ada ketika itu iaitu Akta Hakmilik Strata 1985 [Akta 318] di mana Seksyen 57 Akta 318 menetapkan 100 peratus persetujuan bagi penamatan skim strata.
“Waktu mereka membeli rumah mereka Akta Pembaharuan Semula Bandar belum ada. Undang-undang mengenai hak milik harta rakyat yang dijamin oleh Perkara 13 Perlembagaan Persekutuan tidak wajar tertakluk pemakaian akta yang baru secara retrospektif.Pemakaian undang-undang secara retrospektif bukan madani tetapi tirani,” saran Hassan.
Beliau yang juga pengamal undang-undang mencadangkan lagi, bagi projek pembaharuan semula Bandar yang tidak melibatkan perobohan dan pembangunan semula seperti – projek penjanaan semula bandar dan projek penyegaran semula bandar maka ambang persetujuan bolehlah direndahkan kepada 80 peratus.
“Ini bermakna ambang persetujuan bukanlah berasaskan umur sesuatu bangunan tetapi berasaskan jenis projek pembaharuan semula bandar sama ada pembangunan semula atau penjanaan semula ataupun penyegaran semula bandar.
“Akhirnya perlu dinyatakan secara jelas dalam RUU PSB ini bahawa Akta Pengambilan Tanah 1960 tidak akan diguna pakai dalam melaksanakan Akta PSB ini nanti,” kata Hassan.
Tegas beliau lagi, RUU PSB yang ada sekarang tidak dapat dipertahankan hatta oleh ahli Parlimen kerajaan kerana ia serba pincang sama ada dari segi undang-undang Perlembagaan dan juga prinsip keadilan yang dijunjung oleh falsafah Madani.



