DOHA – Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump memberi tempoh tiga hingga empat hari kepada Hamas untuk menerima pelan damai Gaza tajaan Washington, sambil memberi amaran akan berlaku pengakhiran yang amat menyedihkan sekiranya kumpulan itu enggan berbuat demikian.
Trump berkata, pelan 20 perkara yang diumumkan bersama Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu di Rumah Putih itu hampir menamatkan konflik berdarah yang berlarutan sejak dua tahun lalu.
Pelan tersebut antara lain menetapkan gencatan senjata segera, pertukaran tebusan Hamas dengan tahanan Palestin di Israel, pengunduran berperingkat tentera Israel dari Gaza, pelucutan senjata kumpulan terbabit serta penubuhan kerajaan peralihan dikendalikan sebuah badan antarabangsa.
Menurut sumber, Hamas yang tidak terlibat dalam rundingan awal, akan meneliti dokumen tersebut sebelum mengemukakan maklum balas rasmi namun, jurucakap pergerakan itu menegaskan syarat yang ditetapkan adalah berat sebelah kepada Israel dan bersifat mustahil kerana menjejaskan hak rakyat Palestin.
Trump menegaskan, kebanyakan pemimpin Arab menyatakan sokongan terhadap cadangan itu, termasuk menteri luar Arab Saudi, Jordan, Emiriah Arab Bersatu (UAE), Qatar dan Mesir.
“Kita hanya menunggu jawapan Hamas. Hamas sama ada akan menerimanya atau tidak, dan jika tidak, ia akan berakhir dengan amat menyedihkan,” katanya sambil menambah ruang untuk rundingan lanjut adalah sangat terhad.
Banyak elemen dokumen berkenaan pernah dimasukkan dalam beberapa cadangan gencatan senjata sepanjang dua tahun lalu dengan ada yang diterima dan kemudian ditolak sama ada oleh Israel atau Hamas, terjemah Utusan.
Sejak awal perang, syarat utama Hamas ialah pengunduran penuh Israel dari Gaza sebagai pertukaran untuk pembebasan baki tebusan.
Walaupun kumpulan itu pernah menyatakan kesediaan melepaskan kuasa pentadbiran, ia tetap menolak sebarang tuntutan melucutkan senjata.
Sementara itu, pegawai Palestin berkata, cadangan itu secara jelas mengikut syarat Israel sepenuhnya tanpa memberi sebarang hak sah kepada penduduk Gaza.
Di lapangan, tentera Israel dilapor mara lebih jauh ke pusat Gaza City semalam yang digelar Netanyahu sebagai kubu terakhir Hamas manakala risalah amaran turut dijatuhkan dari udara agar orang awam segera meninggalkan kawasan tersebut menuju ke selatan.



