KUALA LUMPUR – Hujahan lisan bagi perbicaraan kes bunuh pelajar Tingkatan Lima, Muhammad Zaharif Affendi Muhd Zamrie yang membabitkan seorang pegawai kanan polis di Mahkamah Tinggi Ipoh pada Rabu ditangguhkan pada 14 dan 15 Januari tahun depan.
Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Bhupindar Singh Gucharan Singh Preet menetapkan tarikh baharu itu selepas membenarkan permohonan Timbalan Pendakwa Raya, Afzainizam Abdul Aziz.
Perbicaraan bagi hujahan lisan itu pada asalnya dijadualkan berlangsung selama dua hari iaitu hari ini dan esok.
Terdahulu, Afzainizam memaklumkan kepada mahkamah bahawa pihak pendakwaan memerlukan lebih banyak masa untuk membalas hujahan bertulis yang difailkan oleh pihak pembelaan pada 19 dan 30 September lalu.
“Sekiranya dibenarkan oleh mahkamah, pihak pendakwaan memohon lanjutan masa selama sebulan untuk mengemukakan jawapan balas,” katanya menurut laporan Harian Metro di Ipoh.
Peguam utama, M Athimulan yang mewakili tertuduh, Deputi Superintendan Mohd Nazri Abdul Razak memaklumkan kepada mahkamah bahawa mereka sudah memfailkan dua hujahan bertulis masing-masing setebal 118 muka surat dan 15 muka surat.
Sementara itu, Mohd Nazri, 46, yang berada di kandang tertuduh mengangguk faham selepas jurubahasa mahkamah memaklumkan tarikh perbicaraan baharu kepadanya.
Pasukan pembelaan turut dianggotai Datuk Mior Faridalathrash Wahid dan Aiman Hakim Kamaruzzaman manakala Nasrul Hadi Abdul Ghani mewakili pihak pendakwaan bersama Afzainizam
Terdahulu, mahkamah menetapkan 1 dan 2 Oktober untuk hujahan lisan selepas membenarkan permohonan pihak pembelaan untuk memfailkan hujahan bertulis yang baharu.
Pasukan pembelaan turut dianggotai Datuk Mior Faridalathrash Wahid dan Aiman Hakim Kamaruzzaman, manakala pihak pendakwaan diketuai Afzainizam bersama Nasrul Hadi Abdul Ghani.
Pada 18 Disember 2023, Mohd Nazri didakwa di Mahkamah Majistret di sini atas pertuduhan membunuh Muhammad Zaharif, 17, di Jalan Taman Jati 1, berhampiran Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Jati, Meru, antara jam 11.45 pagi hingga 12.32 tengah hari pada 15 Disember 2023.
Dia didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara antara 30 hingga 40 tahun serta tidak kurang daripada 12 sebatan, jika sabit kesalahan.



