KUALA LUMPUR – Pas tidak lagi menunjukkan minat kepada kepimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin mahupun Datuk Seri Azmin Ali, sebaliknya memilih untuk lebih mesra dengan kem Datuk Seri Hamzah Zainudin, dakwa Datuk Mahfuz Omar.
Naib Presiden Amanah itu berkata, situasi ini mendedahkan kedudukan sebenar Bersatu dalam Perikatan Nasional (PN) yakni mereka bukan lagi rakan setara, sebaliknya sekadar pelengkap yang bergantung harap pada belas ihsan Pas.
“Dalam Perikatan Nasional, Pas sedang cuba nak jadi tuan rumah dan Bersatu sebagai penyewa”.
“Apabila rumah tangga sendiri pun tidak mampu dipertahankan, bagaimana Bersatu dan Pas mahu diyakini sebagai parti yang boleh memimpin negara? soal beliau.
Menurut Mahfuz lagi, pergolakan dalaman Bersatu semakin jelas sejak himpunan tahunannya.
“Apa yang sepatutnya Perhimpunan Tahunan menjadi medan mengukuhkan perpaduan parti, kini bertukar menjadi gelanggang pertembungan antara kem Muhyiddin Azmin dengan kem Hamzah.
“Keretakan ini bukan sahaja menjejaskan keyakinan ahli akar umbi, malah menimbulkan persoalan sama ada Bersatu masih mampu berfungsi sebagai parti politik yang stabil.
“Lebih ketara,keretakan ini mengheret hubungan Bersatu dengan Pas ke tahap yang lebih rapuh,” selar beliau.



