KUALA LUMPUR – Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil menyangkal dakwaan konon beliau mahupun Suruhanjaya Multimedia dan Komunikasi (MCMC) memfailkan aduan kepada Meta Platforms Inc (Meta) untuk menurunkan akaun Facebook Malaysiakini selepas mendedahkan kewujudan rangkaian sekurang-kurangnya 263 akaun yang terlibat dalam kempen tersusun untuk secara palsu melonjakkan sokongan terhadap Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim di halaman Facebook rasminya.
Bukan cuma itu Fahmi yang juga Jurucakap Kerajaan Madani juga dimaklumkan oleh pihak Meta bahawa dakwaan 263 akaun itu adalah akaun coordinated in authentic behaviour (CIB) adalah tidak benar.
“Jemaah Menteri telah membincangkan dakwaan yang telah dilaporkan oleh Malaysiakini kononnya wujudnya rangkaian 263 akaun yang terlibat dalam coordinated in authentic behaviour (CIB). Ya, tindakan di mana didakwa sekumpulan individu melakukan aktiviti bersama dalam laman Facebook Perdana Menteri, seterusnya berlaku satu keadaan di mana Facebook page Malaysiakini ada dua dikatakan telah diturunkan.
“Tapi saya jelaskan bahawa pihak saya, MCMC tidak ada menerima sebarang aduan dan tidak memfailkan sebarang aduan mengenai laporan ini dan pada masa sama kami juga telah mendapatkan sedikit maklum balas daripada pihak Meta.
“Meta mengesahkan beberapa perkara pertama Meta di Singapura tidak menerima sebarang pertanyaan daripada pihak Malaysiakini yang khusus berkenaan dengan dakwaan penurunan Facebook page tersebut dan mereka telah minta supaya maklumat diberikan.
“Meta juga telah mengesahkan bahawa dakwaan 263 akaun yang dikatakan terlibat dalam aktiviti CIB itu tidak melakukan aktiviti CIB seperti yang didakwa. Ini berdasarkan analisa daripada pasukan khas Meta yang meneliti isu-isu melibatkan CIB,” jelas beliau dalam sidang akhbar pasca Mesyuarat Kabinet pada Rabu.
Selain itu, Fahmi juga memaklumkan Meta mengesahkan pihak mereka tidak menurunkan apa apa page ini berdasarkan apa yang Meta sebut kepada beliau.
“Kedua dakwaan 263 akaun itu adalah akaun CIB adalah tidak benar. Jadi mereka tidak mengambil apa-apa tindakan.
“Tapi masa sama pihak Meta ada membangkitkan soalan kerana yang berhubung dengan saya itu adalah the head dan beliau memaklumkan beliau buat semakan dengan pasukan tidak ada sesiapa daripada pihak media tersebut yang berhubung dengan pihak Meta, jadi mereka pun agak tertanya-tanya bagaimana maklumat asal itu sampai kepada pihak Malaysiakini,” ujar Fahmi.
Sebelum itu heboh dengan laporan siasatan Malaysiakini mendedahkan kewujudan rangkaian sekurang-kurangnya 263 akaun yang terlibat dalam kempen tersusun untuk secara palsu melonjakkan sokongan terhadap Perdana Menteri Anwar Ibrahim di halaman Facebook rasminya.
Susulan pendedahan itu, akaun Facebook Malaysiakini yang berkongsi pautan berita versi bahasa Inggeris dan KiniTV – serta akaun peribadi sekurang-kurangnya seorang pentadbirnya – telah digantung hari ini.
Akaun Facebook Malaysiakini mula menerima notis penggantungan berkenaan kira-kira jam 5.40 petang semalam, kurang dua jam selepas ia mendedahkan rangkaian sekurang-kurangnya 263 akaun secara artifisial meningkatkan sokongan kepada Perdana Menteri Anwar Ibrahim di laman Facebooknya sendiri.
Tidak jelas sama ada penggantungan itu mempunyai kaitan langsung dengan pendedahan berkenaan.
Notis dari Meta itu mendakwa akaun Malaysiakini telah melanggar garis panduan komuniti mengenai keselamatan siber.



