Kedatangan Trump peluang nyatakan pandangan secara berdepan, minta hentikan penindasan terhadap Palestin – Anwar Ibrahim

KUALA LUMPUR – Pertemuan kelak dengan Presiden Amerika Syarikat Donald Trump akan menjadi medan penting bagi Datuk Seri Anwar Ibrahim memastikan ruang dialog terus kekal sebagai salah satu aparat utama dalam menjamin keamanan dan pembukaan laluan bantuan kemanusiaan yang lebih besar untuk rakyat Gaza.

Perdana Menteri menegaskan, ini tentunya bukan penyelesaian muktamad, dan tentunya kita tidak pula mahu sekadar menjadi jaguh kampung, tetapi ia akan menjadi permulaan yang memungkinkan terhentinya segala bentuk serangan dan ancaman, serta akan menjadi ruang untuk suara untuk keadilan dan keamanan dilonjak ke peringkat dan pentas yang tertinggi.

“Mari bersama terus berdoa kepada Allah SWT agar usaha ini diberi perlindungan dan menjadi sinar terbaik serta jawapan yang ampuh kepada kezaliman ini.

“Ia pastinya menjadi detik pensejarahan yang penting serta permulaan kepada era dan order baru dunia yang lebih aman dan yang mampu menjamin keadilan,” ikrar Anwar.

Beliau bahkan menzahirkan rasa terharu dan mengujakan saat melakukan lawatan dan tinjauan ke Markas Utama MAPIM untuk Global Sumud Flotilla petang semalam.

“Kecekalan para perwira berhari-hari membelah samudera demi keadilan lantas menjentik nurani dan menjadi sumber kekuatan, tidak hanya kepada warga Palestin di Gaza, tetapi juga kepada masyarakat dunia yang mengikutinya dengan rasa juang yang tinggi.

“Kerajaan kekal mendukung dan bersama, selain memastikan bantuan kemanusiaan segera disalurkan dan apa yang utama adalah para perwira selamat sampai ke bumi Gaza kelak, dan dijangka akan mula memasuki zon merah pada esok (hari ini).

“Ramai sahabat di rantau ini, termasuk Malaysia, Turkiye, Itali, dan Sepanyol turut gigih menggembleng tenaga. Hubungan akrab dan langsung yang kita terus kekalkan dengan pelbagai pihak di peringkat antarabangsa menjadi wahana penting dalam menggerakkan solidariti global,” kata Perdana Menteri.

Justeru Anwar menyatakan, hari-hari yang mendatang ternyata mencabar.

“Musuh mungkin menggertak, menyerang. Namun, kekentalan semangat saudara-saudara di lautan inilah yang meleraikan resah dan menyala harapan.

“Sebagaimana 34 anak Malaysia yang kini bersama pasukan flotila ini, ia tentunya menjadi catatan sejarah dalam menegak keadilan dan membela kemanusiaan,” ujar Anwar.

author avatar
Janatul Firdaus Yaacob
-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat