PELAKON Nazia Mustafar kurang senang dengan cara komunikasi seorang pengurus produksi yang menghubunginya baru-baru ini dengan menggunakan kata-kata yang tidak sepatutnya.
Nazia ketika dihubungi berkata, tidak ada salahnya sekiranya seseorang itu berbudi bahasa dalam berkomunikasi.
Semalam, dia dihubungi pengurus produksi dari satu syarikat produksi menawarkan dia untuk berlakon dalam karya terbitan mereka dengan bayaran sebanyak RM1,500 sahaja untuk penggambaran selama empat hari.
Bagaimanapun, dia menolaknya dengan baik tetapi pengurus produksi itu membalas dengan jawapan yang kurang enak.
“Patutkah dia cakap, ‘kalau tak nak, tak apa sebab ramai artis lain yang nak’. Saya rasa terhina sangat dengan jawapan itu,” katanya kepada Harian Metro.
Nadia yang dikenali dengan sikap mesranya berkata, dia bukanlah terlalu hiraukan mengenai bayaran yang tidak berpatutan itu kerana ia masih boleh dibincangkan.
“Kalau nak cakap pasal harga, ya, RM1,500 untuk 28 babak dalam empat hari adalah bayaran yang tidak setimpal. Namun, ia masih boleh dibincangkan.
“Saya tolak pun bukan secara kasar, tetapi dengan cara baik. Tak sangka pula dia balas dengan kata-kata kasar begitu. Mungkin dia bukan pengurus produksi senior, jadi dia tak kenal saya memandangkan saya pun bukanlah nama besar. Tapi, pengalaman saya bekerja dalam industri ini sudah cukup lama,” katanya.
Menurutnya, dia juga menerima komen daripada netizen yang memintanya bersyukur dengan jumlah bayaran yang ditawarkan selepas berkongsi mengenai situasi itu di Instagram.
“Seperti yang saya jelaskan, bayaran bukanlah perkara utama kerana sebagai pelakon dan pemilik syarikat produksi, saya sendiri faham mengenai bajet.
“Kadang-kadang, kalau bayaran tak banyak mana pun, tapi barisan pelakon yang ada dapat buatkan kita seronok bekerja, saya akan terima juga.
“Ini belum apa-apa dah keluarkan kata-kata yang tak sepatutnya. Kalau sudah bekerja dengan produksi dan individu itu, tak tahulah apa akan jadi,” katanya.
Terbaru, Nazia kini dapat persiapan untuk menerbitkan super telefilem komedi yang membariskan barisan pelakon-pelakon yang melatah.
Harian Metro



