Logistik Hijau Pemacu Pertumbuhan Ekonomi Lestari

Oleh Prof. Madya Ts. Dr. Mohd Kamarul Irwan Abdul Rahim

Malaysia tidak boleh lagi melihat logistik sekadar proses penghantaran barang dari satu lokasi ke lokasi lain. Dalam keadaan kos operasi yang terus meningkat, tekanan terhadap agenda kelestarian serta komitmen negara mencapai tahap pelepasan karbon sifar bersih menjelang tahun 2050, pengoptimuman rantaian bekalan hijau perlu menjadi keutamaan semua industri. Statistik daripada Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) menunjukkan bahawa sektor pengangkutan dan penyimpanan mencatatkan nilai output kasar sebanyak RM140.5 bilion pada tahun 2022, dengan nilai ditambah RM58.1 bilion, melibatkan hampir 48,800 pemain industri serta menyediakan pekerjaan kepada lebih 475,000 orang. Angka ini membuktikan bahawa kepentingan sektor ini dan sebarang peningkatan kecekapan logistik akan memberi kesan langsung kepada pertumbuhan ekonomi negara dan kesejahteraan rakyat.

Perkara ini semakin penting kerana sektor logistik dan pengangkutan merupakan antara penyumbang utama pelepasan karbon negara. Menurut Asian Transport Observatory, sektor pengangkutan di Malaysia menghasilkan kira-kira 61.2 juta tan gas rumah hijau pada tahun 2024, iaitu sekitar 18 peratus daripada keseluruhan pelepasan gas rumah hijau negara. Lebih membimbangkan, hampir 97 peratus pelepasan tersebut berpunca daripada pengangkutan di jalan raya, yang menjadi tulang belakang sistem logistik negara. Statistik ini menunjukkan bahawa usaha mengurangkan pelepasan karbon perlu bermula dengan meningkatkan kecekapan pengurusan logistik dan rantaian bekalan. Selama ini banyak organisasi hanya memberi tumpuan kepada pengurangan kos pengeluaran dan pengangkutan, sedangkan keputusan tersebut kadangkala meningkatkan penggunaan bahan api serta pelepasan karbon. Oleh itu, pendekatan Green Supply Chain Management (GSCM) menekankan keseimbangan antara keuntungan ekonomi dan tanggungjawab terhadap alam sekitar melalui perancangan yang lebih cekap.

Ramai di antara kita juga masih beranggapan bahawa amalan hijau hanya akan meningkatkan kos syarikat. Hakikatnya, persepsi tersebut tidak lagi tepat. Dengan bantuan teknologi seperti Kecerdasan Buatan (AI), Internet Pelbagai Benda (IoT), analitik data raya dan pemodelan matematik, syarikat kini boleh mengenal pasti laluan penghantaran yang paling optimum, menentukan lokasi pusat pengedaran yang strategik serta mengurangkan perjalanan yang tidak perlu. Hasilnya, penggunaan bahan api dapat dikurangkan, masa penghantaran menjadi lebih singkat dan kos operasi dapat dijimatkan.

Kecekapan logistik ini amat memberi manfaat kepada pengguna. Apabila kos pengangkutan menurun, kos pengedaran makanan, bahan binaan, ubat-ubatan dan barangan keperluan harian turut dapat dikurangkan. Dalam sektor pertanian misalnya, sistem logistik yang lebih cekap dapat mengurangkan kerosakan hasil segar sebelum tiba di pasaran. Manakala dalam industri pembinaan pula, penyelarasan penghantaran bahan binaan boleh mengelakkan kesesakan di tapak projek, mengurangkan kelewatan pembinaan dan mengawal pembaziran sumber.

Usaha memperkukuh logistik hijau juga selari dengan beberapa dasar utama negara. Dasar Pengangkutan Negara 2019–2030 menekankan pembangunan sistem pengangkutan yang mampan, cekap dan rendah karbon. Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 (NIMP 2030) pula menjadikan kemampanan sebagai antara misi utama transformasi sektor perindustrian negara. Pada masa yang sama, Rancangan Malaysia Ke-12 (RMKe-12) dan Dasar Tenaga Negara 2022–2040 turut menggalakkan penggunaan teknologi hijau dan pendigitalan bagi meningkatkan produktiviti industri. Semua dasar ini menyokong komitmen Malaysia untuk mengurangkan intensiti pelepasan gas rumah hijau ke atmosfera sebanyak 45 peratus menjelang tahun 2030 berbanding paras tahun 2005, sebelum mencapai sasaran pelepasan karbon sifar bersih menjelang tahun 2050.

Apa yang lebih menarik, logistik hijau bukan sekadar memberi manfaat kepada alam sekitar, malah mampu meningkatkan keuntungan syarikat. Laluan penghantaran yang lebih pendek, penggunaan pusat pengedaran yang optimum serta perancangan pengeluaran yang lebih tersusun mengurangkan penggunaan bahan api, masa perjalanan dan kos operasi. Dalam jangka panjang, syarikat menjadi lebih kompetitif serta bersedia memenuhi keperluan pasaran global yang semakin menitikberatkan pematuhan terhadap standard Environmental, Social and Governance (ESG).

Salah satu cabaran utama ialah ramai pemain industri, khususnya perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS), masih menganggap teknologi pengoptimuman sebagai sesuatu yang mahal dan kompleks. Hakikatnya, pelbagai perisian analitik, sistem pengurusan logistik dan platform pengkomputeran awan kini jauh lebih mampu dimiliki berbanding sedekad lalu. Dengan sedikit pelaburan dalam teknologi digital, syarikat mampu memperoleh penjimatan operasi yang jauh lebih besar.

Kesimpulannya, masa depan logistik Malaysia bukan lagi bergantung kepada pembinaan lebih banyak lebuh raya atau penambahan jumlah lori di jalan raya. Sebaliknya, kelebihan daya saing akan ditentukan oleh kebijaksanaan menggunakan data, teknologi dan inovasi untuk membuat keputusan yang lebih tepat dan efisien. Logistik hijau bukan lagi pilihan, tetapi satu keperluan strategik bagi memastikan Malaysia mampu mengurangkan kos operasi, mengawal pelepasan karbon, menarik pelaburan berkualiti serta memperkukuh kedudukan negara dalam ekonomi global. Apabila rantaian bekalan menjadi lebih cekap, bukan sahaja industri memperoleh keuntungan, malah rakyat turut menikmati harga barangan yang lebih stabil, alam sekitar yang lebih lestari dan ekonomi negara yang lebih berdaya tahan. Negara yang berjaya menggabungkan inovasi, teknologi dan pengurusan logistik yang cekap akan lebih bersedia menghadapi cabaran ekonomi global serta memastikan kemakmuran yang mampan untuk generasi akan datang.

Dekan,
Pusat Pengajian Pengurusan Teknologi dan Logistik,
Universiti Utara Malaysia.
-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat