Mesyuarat Agung Tahunan Atas Talian, Koperasi Ke Arah Pendigitalan

- Advertisement -

KUALA LUMPUR – Kemampuan koperasi untuk menganjurkan Mesyuarat Agung Tahunan (MAT) bagi tahun 2021 secara hybrid atau virtual adalah titik permulaan bagi koperasi melangkah ke alam pendigitalan.

Pengarah Bahagian Statutori dan Pendaftaran Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM), Norhayati Ahmad Zainuri berkata kemampuan koperasi mengadakan MAT dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0, menjadikan koperasi itu hebat dalam mengadaptasi situasi semasa.

“MAT yang dianjurkan secara hybrid atau virtual adalah demi kepentingan anggotanya sekaligus memastikan pematuhan perundangan koperasi dan memenuhi kehendak stakeholder.

“Wajar untuk koperasi mengadakan MAT malah mengamalkan norma baharu dalam pengurusan koperasi termasuk mengadakan mesyuarat secara maya menggunakan pelbagai aplikasi mesyuarat atas talian.

Menurutnya arahan turut dikeluarkan oleh Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi berkuatkuasa 31 Mac 2021 berkenaan pematuhan Tatacara Pelaksanaan MAT Koperasi Semasa Penularan Pandemik COVID-19 yang dikeluarkan SKM.

“Tatacara ini menjadi rujukan asas kepada koperasi untuk mengadaptasi kaedah baharu mengadakan mesyuarat agung secara maya sebagai alternatif kepada koperasi untuk mengadakan MAT secara fizikal,” katanya dalam satu sesi temuramah secara atas talian hari ini.

Katanya lagi, kemampuan koperasi bersaiz besar menganjurkan mesyuarat agung secara atas talian perlu dijadikan contoh kepada koperasi yang bersaiz kecil.

“Koperasi Angkatan Tentera Malaysia Berhad dengan kekuatan 150,000 anggota dan Koperasi Sahabat Amanah Ikhtiar Malaysia Berhad mempunyai lebih 200,000 anggota berjaya mengadakan MAT pada 27 Jun 2021 dan 26 Ogos 2021 dengan kuorum bersesuaian masing-masing.

Norhayati turut menjelaskan dari aspek perundangan, keputusan dalam mesyuarat yang diadakan secara atas talian diterima pakai atau menjadi kesepakatan secara bersama dipersetujui anggota koperasi yang hadir dalam mesyuarat itu.

Katanya, Pengerusi mesyuarat hendaklah memainkan peranan terbaik bagi memastikan konsensus secara bersama itu tidak boleh dicabar keputusannya.

“Kaedah pengundian boleh ditentukan oleh koperasi sebelum mesyuarat agung khususnya mesyuarat yang diadakan secara atas talian. Pengundian secara elektronik dianggap lebih praktikal kerana sekiranya dicabar keputusan pengundian, koperasi boleh mengemukakan jejak audit (audit trail) sebagai bukti.

“Selain itu, rakaman perjalanan mesyuarat agung hendaklah disimpan sebagai rekod agar sekiranya terdapat sebarang pertikaian, boleh ditangani dengan sebaiknya,” katanya.

Tambahnya banyak kelebihan yang diperolehi menerusi mesyuarat agung secara atas talian dan hanya perlu mempunyai telefon bimbit dengan talian internet yang baik bagi memastikan kelancaran sidang video.

SKM turut prihatin terhadap permasalahan koperasi bersaiz kecil, mikro, dan luar bandar yang mempunyai capaian internet terhad.

“Oleh itu, bagi koperasi seumpama ini, SKM boleh mempertimbangkan pelanjutan tempoh mesyuarat agung selama tiga bulan daripada tarikh akhir koperasi sepatutnya mengadakan mesyuarat agung. Ini bertujuan bagi membantu koperasi untuk bersedia dengan infrastruktur bagi keperluan untuk mengadakan mesyuarat agung secara virtual atau hybrid,” ujarnya.

Terdahulu Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM), Koperasi Sahabat Amanah Ikhtiar Malaysia Berhad (Koperasi Sahabat) dan Koperasi Angkatan Tentera Malaysia Berhad (Koperasi Tentera) antara koperasi bersaiz besar yang melaksanakan MAT secara atas talian bagi tahun 2021.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat