KUALA LUMPUR – BERSATU mengucapkan tahniah kepada Barisan Nasional (BN) selepas gabungan itu diberikan mandat baharu untuk membentuk Kerajaan Negeri Sembilan susulan keputusan Pilihan Raya Umum Dewan Negeri (PRN) Negeri Sembilan Ke-16.
Menurut Setiausaha Agung BERSATU, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, parti itu menerima keputusan yang dibuat oleh pengundi di Negeri Sembilan.
Menurut beliau, keputusan tersebut diperoleh selepas BERSATU bertanding di 24 kerusi menggunakan simbol sendiri, buat kali pertama tanpa bergantung kepada simbol atau platform parti lain.
“Ini adalah kali pertama BERSATU menyertai pilihan raya dengan menggunakan simbol sendiri tanpa bergantung dan menumpang kepada pihak lain,” katanya.
Azmin berkata, keputusan pilihan raya itu menjadi isyarat kepada BERSATU untuk mengambil langkah lebih berani dalam memperkukuhkan parti, termasuk meningkatkan disiplin dalaman, memperhebat usaha organisasi serta memperjuangkan agenda perubahan yang memberi manfaat kepada rakyat.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada semua jentera parti yang bertungkus-lumus membantu calon-calon BERSATU sepanjang kempen dalam semangat setiakawan dan kesetiaan kepada perjuangan parti.
Menurutnya, BERSATU akan melakukan bedah siasat secara menyeluruh terhadap keputusan PRN Negeri Sembilan bagi mengenal pasti langkah strategik yang mampu memperkukuhkan perjuangan parti pada masa hadapan.
Selain itu, katanya, BERSATU juga akan membincangkan pembentukan gabungan parti-parti politik yang disifatkan sebagai sederhana dan progresif bagi menyegarkan demokrasi negara serta membina masa depan yang lebih cemerlang.



