KUALA LIUMPUR – Wong Chen melahirkan ucapan tahniah kepada pasukan perunding perdagangan Malaysia, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz dan juga Timbalan Ketua Setiausaha (Perdagangan) Mastura Ahmad Mustafa atas usaha mereka dalam memastikan kadar tarif yang lebih kompetitif.
Ahli Parlimen Subang itu berkata, kadar tarif baharu meletakkan Malaysia setara dengan Indonesia dan sedikit lebih baik berbanding Vietnam dalam konteks perdagangan antarabangsa dengan Amerika Syarikat (AS).
“Terkini, tarif Trump terhadap Malaysia ditetapkan pada 19 peratus.
“Kita kini berada pada tahap yang sama dengan Indonesia dan sedikit lebih baik berbanding Vietnam. Tahniah kepada pasukan rundingan, Mastura, Tengku Zafrul dan Perdana Menteri,” katanya menerusi hantaran di Facebook pada Jumaat.
Malaysia dikenakan tarif sebanyak 19 peratus berdasarkan perintah eksekutif yang ditandatangani oleh Presiden AS, Donald Trump pada Jumaat.
Dokumen pelarasan lanjut kadar tarif timbal balas yang ditandatangani Trump bertarikh 31 Julai 2025 itu telah dimuat naik di laman sesawang Rumah Putih.



