ISTANBUL: Perdana Menteri Sweden, Ulf Kristersson, pada Khamis menggesa Kesatuan Eropah (EU) untuk membekukan komponen perdagangan dalam perjanjian persatuannya dengan Israel serta meningkatkan tekanan ekonomi terhadap negara itu.
Memetik laporan Bernama yang berpandukan sumber Agensi Anadolu (AA), Kristersson menulis di platform X bahawa EU perlu bertindak segera membekukan komponen perdagangan tersebut dan mengetatkan tekanan ekonomi susulan situasi “yang amat menyedihkan” di Gaza.
Beliau turut menggesa kerajaan Israel supaya membenarkan kemasukan bantuan kemanusiaan ke Gaza tanpa sebarang sekatan.
“Israel tidak memenuhi kewajipan paling asas dan komitmen yang telah dipersetujui berhubung bantuan kemanusiaan,” katanya.
Selain itu, Kristersson menyeru pembebasan semua tawanan secara “serta-merta” dan “tanpa syarat”.
Sejak 7 Oktober 2023, Israel telah meneruskan kempen ketenteraan ke atas Gaza meskipun menerima pelbagai gesaan antarabangsa untuk melaksanakan gencatan senjata. Serangan tersebut telah mengorbankan lebih 60,200 rakyat Palestin — kebanyakannya wanita dan kanak-kanak — serta menyebabkan kemusnahan meluas dan kekurangan makanan kronik di wilayah itu.
Pada Isnin lalu, dua kumpulan hak asasi Israel, B’Tselem dan Physicians for Human Rights-Israel, menuduh kerajaan Israel melakukan genosid di Gaza. Tuduhan itu merujuk kepada kemusnahan sistematik masyarakat Palestin dan tindakan sengaja melumpuhkan sistem kesihatan di kawasan berkenaan.
Pada November, Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) mengeluarkan waran tangkap terhadap Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu, dan bekas Menteri Pertahanan, Yoav Gallant, atas dakwaan jenayah perang dan jenayah terhadap kemanusiaan. Israel juga sedang berdepan kes genosid di Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) berhubung tindakan ketenteraan di Gaza.



