KUALA LUMPUR – Pertubuhan Persaudaraan Pesawah Malaysia (PeSAWAH) menggesa Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim campur tangan segera bagi menyelesaikan kelewatan berpanjangan dalam pembayaran penuh insentif membajak dan menuai yang tertunggak sejak tiga musim penanaman lalu.
Presiden PeSAWAH Abdul Rashid Yob berkata pesawah kini semakin bimbang dengan kegagalan Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) menunaikan janji yang dibuat, meskipun pelbagai jaminan sudah diberikan sebelum ini.
Beliau berkata, semalam adalah tarikh akhir rasmi kedua bagi pembayaran insentif itu, namun ramai pesawah masih belum menerima bayaran sepatutnya bagi membantu meringankan beban operasi selepas pelaksanaan rasionalisasi subsidi diesel pada Jun tahun lalu, lapor BH di Kedah.
“Pengumuman pertama dibuat pada 11 Jun 2024, apabila kementerian mengumumkan peningkatan insentif membajak daripada RM100 kepada RM160 sehektar dan pengenalan insentif menuai baharu sebanyak RM50 sehektar.
“Langkah ini bagi mengurangkan kesan peningkatan kos operasi akibat pemotongan subsidi diesel,” katanya dalam kenyataan.
Abdul Rashid berkata, hasil Mesyuarat Jawatankuasa Kabinet Dasar Sekuriti Makanan Negara pada 16 Jun lalu, kementerian telah mengulangi komitmen kerajaan dan memberikan jaminan baharu bahawa pembayaran penuh akan diselesaikan sebelum atau pada 31 Julai.
“Malangnya, janji itu masih tidak ditepati. Pesawah sudah melalui tiga musim penanaman tanpa sebarang sokongan subsidi diesel seperti dijanjikan.
“Keadaan ini sangat mengecewakan dan mencerminkan kelemahan urus tadbir dalam kementerian itu.
“Jadi, Perdana Menteri perlu menggesa bagi memastikan bayaran penuh disegerakan, kerana kelewatan berbuat demikian akan menjejaskan kepercayaan pesawah dan menambah kesengsaraan golongan pengeluar beras negara,” katanya.
Pada 28 Jun, media telah melaporkan bahawa kerajaan berjanji akan menyelesaikan pembayaran insektif membajak dan menuai sebelum 31 Julai.
Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu, sebelum ini menyatakan isu itu dibincangkan pada Mesyuarat Dasar Sekuriti Makanan Negara (FSCC) Bil 1/2025, yang dipengerusikan Perdana Menteri pada 16 Jun lalu.



