KUALA LUMPUR – Timbalan Presiden PKR, Rafizi Ramli menegaskan bahawa beliau tidak sedikit pun ‘minat’ dengan Datuk Seri Najib Razak seperti didakwa.
Rafizi sebaliknya menyatakan minat sebenar beliau ialah untuk memastikan Najib menanggung kesalahan-kesalahannya kepada rakyat dan berakhir dengan menjalani hukuman penjara.
“Walaupun berlagak popular, bekas Perdana Menteri, Najib nampak bimbang dengan susunan semula kepimpinan parti-parti Pakatan Harapan.
“Kebelakangan ini, terutamanya selepas selesainya pemilihan barisan kepimpinan baru PKR, jentera penerangan UMNO nampak ditumpukan untuk menyerang saya dan PKR/Pakatan Harapan (PH),” katanya dalam kenyataan pada Isnin.
Terbaru kata Rafizi, semasa berucap di Konvensyen BN Selangor, berulang kali dia menumpukan ucapannya mengenai beliau, termasuk mengungkit kononnya Rafizi “berminat” kepadanya.
“Sementara lagak Najib sudah diketahui umum dan ada segelintir masyarakat yang berpendapat lagaknya wajar diabaikan, saya memilih untuk berdepan dengan sarkas politik mainan Najib kerana ada isu pokok yang cuba disembunyikan Najib.
“Hakikatnya, Najib telah bersalah menyeleweng dana rakyat yang kesannya akan ditanggung oleh rakyat untuk jangka masa berpuluh tahun akan datang. Selain tanggungan hutang 1MDB berjumlah RM50 bilion, projek-projek mega yang kosnya naik berkali ganda (seperti MRT, LRT3, ECRL dan sebagainya) membebankan rakyat dengan hutang melebihi RM100 bilion dalam tempoh sekurang-kurangnya 20 tahun akan datang,” ujarnya.
Malah kata Rafizi lagi, Najib telah menggunakan sumber kewangannya untuk menggerakkan kempen penipuan melalui media sosial untuk menyucikan dirinya seolah-olah dia tidak bersalah.
“Lebih teruk dari itu, dia juga cuba menyelewengkan pemikiran rakyat dengan memainkan propaganda terhadap tokoh-tokoh terbilang yang patriotisme mereka bagai langit dengan bumi jika dibandingkan dengan Najib.
“Cubaan propaganda Najib untuk memburukkan integriti hakim Yang Arif Datuk Mohd Nazlan Mohd Ghazali, semata-mata untuk menutup kesalahannya mencuri dana rakyat, tidak wajar dibiarkan tanpa disanggah,” dakwa Rafizi.
Oleh itu, Rafizi menyeru keseluruhan pimpinan PKR/PH di segenap lapisan terus menjawab untuk mematikan propaganda Najib yang merosakkan pemikiran rakyat.
“Sementara kita membentangkan idea-idea untuk memperbaiki kebajikan rakyat dan menyelesaikan masalah rakyat, kita juga wajib menunjukkan bahawa sebahagian besar dari masalah rakyat ini berpunca dari salah tadbir sepanjang sembilan tahun Najib menjadi Perdana Menteri.
“Keupayaan pimpinan PKR/PH mengutarakan kedua-dua perkara ini (memberi idea penyelesaian dan mematahkan propaganda Najib) secara serentak adalah kunci kemenangan PKR/PH dalam pilihan raya umum akan datang.
“Misalnya, adalah satu kebodohan jika kita membiarkan Najib dan konco-konconya memperlekehkan kewibawaan seorang anak Malaysia terbilang seperti Nazlan. Beliau seorang yang pintar lulusan University of Oxford dan mempunyai rekod kerjaya yang menjadi kebanggaan negara. Beliau juga tidak gentar dengan asakan politik dan sanggup berdepan dengan mainan propaganda Najib,” ujarnya.
Bandingkan dengan Najib yang rekod akademik dan kerjayanya hanyalah sebagai seorang bangsawan yang tidak pernah ada pencapaian baik selain yang datang dari kedudukannya sebagai seorang bangsawan,” dakwa Rafizi lagi.
“Jika ada anak Melayu yang wajar menjadi kebanggaan dan inspirasi generasi muda Melayu, tokoh seperti Nazlan inilah yang perlu kita angkat.
“Sebaliknya, propaganda Najib dengan tanpa segan silu, sementara memainkan isu perkauman, dia juga menghina dan memperkecilkan tokoh-tokoh seperti Nazlan demi untuk menyelamatkan dirinya yang semakin dekat dengan hari penghakiman,” dakwanya lagi.
Sebab itu kata Rafizi telatah Najib tidak lebih dari seorang yang perasan dan merasa takut pada masa yang sama.
“Saya tidak berminat dengan Najib.
“Sebagai pimpinan utama parti-parti pro-rakyat di negara ini, memang menjadi tanggungjawab saya untuk terus mendedahkan kesalahan Najib.
“Fokus kepada kesalahan Najib yang membebankan rakyat ini telah menjatuhkan Najib dalam PRU14 dalam tahun 2018. Dengan konsistensi yang sama, lebih ramai rakyat yang akan menolak UMNO/BN akibat penyelewengan-penyelewengan Najib yang terus membebankan parti itu,” kata Rafizi.