Syarat notis berhimpun tak berperlembagaan – Mahkamah Persekutuan

- Advertisement -

KUALA LUMPUR – Mahkamah Persekutuan Putrajaya hari ini memutuskan Seksyen 9(5) Akta Perhimpunan Aman (APA) 2012 sebagai tidak berperlembagaan.

Keputusan sebulat suara itu dibuat panel tiga hakim diketuai Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat yang bersidang bersama Presiden Mahkamah Rayuan, Tan Sri Abang Iskandar Abang Hashim dan Hakim Mahkamah Persekutuan, Datuk Rhodzariah Bujang.

Ketika membacakan keputusan itu, Tengku Maimun berkata mahkamah mendapati Subseksyen 9(5) APA 2012 adalah tidak sah dari segi Perlembagaan kerana melanggar kebebasan berhimpun yang dijamin di bawah Perkara 10(1)(b) dan prinsip kesamarataan di bawah Perkara 8(1) Perlembagaan Persekutuan.

Keputusan itu membabitkan permohonan dikemukakan oleh bekas Setiausaha Agung Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA), Amir Hariri Abdul Hadi, bagi merujuk persoalan perlembagaan berkaitan Seksyen 9(5) ke Mahkamah Persekutuan.

Pada 26 Ogos 2022, Amir Hariri mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini berhubung perhimpunan ‘Mana Kapal Tempur Pesisir (LCS)’ yang diadakan pada 14 Ogos 2022.

Amir Hariri didakwa selaku penganjur gagal memaklumkan pegawai polis yang menjaga daerah Dang Wangi lima hari sebelum mengadakan perhimpunan di hadapan Kompleks Sogo, Jalan Tuanku Abdul Rahman di sini pada 2 petang, 14 Ogos 2022, lapor BH di Putrajaya.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 9 (1) APA 2012 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 9 (5) akta sama yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM10,000 jika sabit kesalahan.

Amir Hariri kemudian mencabar kesahihan akta berkenaan.

Ogos lalu, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur membenarkan permohonannya untuk merujuk persoalan perlembagaan mengenai APA 2012 ke Mahkamah Persekutuan.

Sementara itu, Pemangku Presiden MUDA, Amira Aisya Abd Aziz berharap dengan keputusan berkenaan, tiada lagi mana-mana pihak berkuasa akan menggunakan Seksyen 9 (5) APA 2012 untuk menindas dan mendiamkan suara rakyat.

“Kemenangan Amir Hadi ini merupakan kemenangan untuk semua rakyat Malaysia. Hari ini, rakyat Malaysia menang dalam perjuangan menentang penindasan penguasa,” katanya.

author avatar
Janatul Firdaus Yaacob
-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat