Pakej Bantuan PEMERKASA Bukti Kerajaan Prihatin, Komited Bantu Rakyat – Tengku Zafrul

- Advertisement -

KUALA LUMPUR – Pengumuman pakej bantuan terbaharu PEMERKASA Tambahan yang bernilai RM40 bilion merupakan bukti bahawa kerajaan terus komited dan prihatin dengan keperluan rakyat dalam mendepani krisis kesihatan meskipun berdepan dengan kekangan fiskal.

“Saya ingin menekankan komitmen kerajaan untuk melindungi nyawa rakyat dengan mempertingkatkan kapasiti sistem kesihatan awam termasuklah program imunisasi COVID-19 kebangsaan,” kata Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz.

Kerajaan juga, katanya, komited untuk memastikan kesejahteraan rakyat terutamanya mereka yang paling terkesan dengan krisis ini.

Beliau berkata demikian dalam satu sidang media hari ini susulan pengumuman PEMERKASA Tambahan yang melibatkan suntikan RM5 bilion perbelanjaan tambahan oleh kerajaan meskipun defisit telahpun dijangka berada sekitar 6 peratus dan hutang statutori menghampiri paras siling 60 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).

Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin semasa mengumumkan langkah tersebut semalam susulan pelaksanaan sekatan pergerakan penuh bagi membendung jangkitan pandemik COVID-19 berkata ia akan membawa impak yang besar kepada ekonomi negara dan kerajaan mempunyai fiskal yang terhad.

“Namun, langkah ini perlu bagi memastikan kesejahteraan rakyat,” katanya.

Kerajaan, kata Tengku Zafrul, akan terus berusaha untuk memastikan tiada golongan yang ketinggalan termasuklah pekerja sektor informal, golongan belia dan golongan rentan.

“Kerajaan komited untuk menyokong perniagaan, kecil dan besar dan ekonomi yang lebih meluas.

“Saya ingin menegaskan bahawa pakej bantuan ini merupakan pengantara atau bridger dalam usaha kerajaan beralih daripada agenda ‘Memperkasa’ (atau Revitalise) kepada agenda ‘Menyusun semula’ (atau Reform) dalam pendekatan 6R kerajaan,” katanya.

Tambahan pula, katanya, pakej ini adalah kesinambungan bagi pakej bantuan dan rangsangan ekonomi yang terdahulu.

Justeru, PEMERKASA Tambahan perlu dilihat bersama dengan pakej rangsangan yang lain, khususnya PERMAI (Jan 2021) dan PEMERKASA (Mac 2021) yang masih giat dilaksanakan dengan nilai melebihi RM100 billion, tambah Tengku Zafrul. – Bernama

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat