KUALA LUMPUR – Pengendali skuad Harimau Malaya, Kim Pan-gon dilihat melakukan persiapan lebih awal untuk menghadapi aksi penting Kumpulan D, pusingan kedua Kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027 menentang Oman di Muscat pada 21 Mac dan di Bukit Jalil pada 26 Mac ini.
Ia selepas pengendali dari Korea Selatan itu mengumumkan senarai nama 33 pemain yang dipanggil ke kem latihan pusat skuad Harimau Malaya bermula 8 Mac ini.
Berdasarkan senarai itu, Pan-gon mengekalkan seramai 21 daripada 26 pemain dari skuad Piala Asia 2023 di Qatar pada Januari lalu.
Dua belas pemain baharu yang dipanggil kali ini ialah penjaga gol, Suhaimi Husin, Azam Azmi Murad dan Safwan Mazlan dari Terengganu FC; Sharul Nazeem Zulpakar, Harith Haiqal Adam Afkar, Mukhairi Ajmal Mahadi, Nooa Laine, Ahmad Zikri Khalili, Ruventhiran dan Aliff Izwan Yuslan dari Selangor FC; Haqimi Azim Rosli dari Kuala Lumpur City FC dan T Saravanan dari Sri Pahang FC.
Bagaimanapun, sebahagian daripada 33 pemain itu akan melapor diri lewat pada 15 Mac dan sejurus selepas kehadiran mereka itu nanti, beberapa pemain yang berusia bawah 23 tahun akan dilepaskan ke kem latihan pusat skuad B-23 kebangsaan kendalian Juan Torres Garrido.
“Kita faham pasukan-pasukan kelab sedang menjalani latihan pramusim dan pada masa sama, kalendar perlawanan antarabangsa pula hanya akan bermula dari 18 hingga 26 Mac 2024.
“Namun, kita tetap perlu melakukan persediaan awal bagi menghadapi dua perlawanan menentang Oman ini dan atas sebab itu saya memulakan kem latihan pusat pada 8 Mac dengan memanggil sama beberapa pemain dari skuad B-23 kebangsaan.
“Selepas perbincangan dengan kelab-kelab terlibat, sebahagian pemain hanya akan melapor diri pada 15 Mac kerana saya faham yang mereka baru saja kembali dari bercuti dan baru memulakan latihan bersama kelab, berbanding pemain-pemain lain yang telah lebih awal turun berlatih bersama kelab masing-masing,” kata Pan-gon dalam satu kenyataan, hari ini.
Sementara itu, 20 pemain diletakkan dalam senarai bersedia sekiranya terdapat perubahan dalam senarai 33 pemain itu.
Skuad Harimau Malaya akan turun beraksi untuk perlawanan ketiga Kumpulan D menentang Oman pada 21 Mac di Pusat Sukan Sultan Qaboos, Muscat sebelum terbang pulang bagi perlawanan keempat bertemu Oman juga di Stadium Nasional Bukit Jalil pada 26 Mac.
Sementara dua lagi pertembungan lain dalam Kumpulan D menyaksikan Taiwan bertemu Kyrgyzstan di Taiwan pada 21 Mac sebelum Kyrgyzstan menanti kunjungan Taiwan di Bishkek pada 26 Mac. – HMetro