Pembinaan Jambatan Bailey Laluan Perwira Jaya-Selancar Akan Dibina – TPM

- Advertisement -

KUANTAN – Sebuah jambatan Bailey akan dibina di laluan Perwira Jaya-FELDA Selancar, dekat Rompin, yang terputus akibat banjir awal pagi tadi.

Perkara itu dimaklumkan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi selepas melawat kawasan terjejas banjir di daerah Rompin, termasuk laluan yang terputus itu, petang tadi.

“Sebagai Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Pusat, saya telah mengarahkan Ketua Pengarah NADMA (Agensi Pengurusan Bencana Negara) bagi menyediakan peruntukan dan menghubungi Panglima Tentera Darat untuk menghantar Kor Jurutera DiRaja Angkatan Tentera ke tempat kejadian dan segera membina jambatan bailey (Bailey Bridge) bagi menghubungkan laluan yang ini.

“Kerja (pembinaan) ini dijangka siap dalam tempoh 48-72 jam.

“Ini adalah langkah sementara bagi memastikan laluan ini dapat digunakan semula sebelum jalan baharu dibina oleh Jabatan Kerja Raya,” katanya.

Ahmad Zahid turut memaklumkan seramai 110 calon peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dari kawasan itu tidak dapat menduduki peperiksaan mereka berikutan kejadian berkenaan.

Katanya, terdapat laporan mengenai ambulan membawa pesakit yang perlu menjalani dialisis dan ibu mengandung terpaksa berpatah balik dan menghantar pesakit terbabit ke klinik kesihatan lain untuk tujuan rawatan.

“Oleh kerana (ramalan) hujan berterusan selama beberapa hari lagi, saya berharap kawasan terdedah banjir mengambil langkah berjaga-jaga dan sentiasa mematuhi arahan daripada pihak berkuasa,” katanya lagi.

Dalam kejadian awal pagi tadi, lebih 5,000 penduduk di FELDA Selancar dilaporkan terputus hubungan selepas laluan utama ke kawasan tanah rancangan itu runtuh susulan hujan lebat.

Hujan lebat turut mengakibatkan laluan alternatif ke kawasan yang mempunyai kira-kira 10 tanah rancangan itu ditenggelami air dan tidak dapat dilalui semua kenderaan.

tamat

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat