YBR Anjur Program Ilmu Asas Malim Gunung

- Advertisement -

KUALA PILAH — Seramai 50 belia dari seluruh Malaysia telah menyertai Program Ilmu Asas Malim Gunung Dan Ikhtiar Hidup anjuran Yayasan Bank Rakyat (YBR).

Pengurus Besar YBR, Syaiful Rizal Abdul Ghani berkata program ini memberi pendedahan kepada masyarakat dalam menjalankan aktiviti mendaki gunung dan perkhemahan serta memberi pengalaman dalam menghadapi situasi sukar ketika berada di dalam hutan.

“Program Ilmu Asas Malim Gunung Dan Ikhtiar merupakan sebahagian daripada inisiatif YBR yang telah diuruskan melalui persiapan yang rapi di mana setiap peserta harus mengikuti kepelbagaian modul yang lengkap, dibekalkan peralatan yang mencukupi serta mendapat khidmat tenaga pengajar profesional yang terlatih dan berpengalaman.

“Sementara itu, galakan dan dorongan perlu diberikan kepada golongan muda bagi melahirkan generasi yang lebih sihat dengan menguatkan stamina dan kecergasan melalui aktiviti-aktiviti luar seperti mendaki dan perkhemahan serta memantapkan kesihatan fizikal dan mental,” katanya di dalam satu kenyataan hari ini.

Syaiful berkata, usaha ini diharapkan menjadi salah satu strategi dalam membuka peluang menambah pendapatan dikalangan belia dalam mengatur perancangan masa hadapan khususnya kepada mereka meminati aktiviti lasak melalui sukan mendaki gunung.

“Mereka boleh menjadikan profesion Malim Gunung sebagai pekerjaan sepenuh masa atau sebagai pekerjaan sambilan dalam menambah sumber pendapatan,” katanya.

Melalui kerjasama Pertubuhan Siap Siaga Rembau serta Persatuan Peduli Waghih Negeri Sembilan, program ini memfokuskan pembangunan modal insan dikalangan belia dan memberi tumpuan kepada ilmu sebagai pemandu arah atau lebih dikenali sebagai malim gunung.

Antara latihan dan modul yang diberi penekanan adalah seperti pertolongan cemas, langkah keselamatan dan menyelamat ketika berlaku kecemasan serta keupayaan untuk menyesuaikan diri dengan keadaan sekeliling untuk ikhtiar hidup ketika berada di dalam hutan.

Selain itu, kursus kemahiran yang dijalankan selama dua hari satu malam ini turut memberi pendedahan kepada peserta mengenai ilmu-ilmu perhutanan seperti mengenal tumbuhan liar, mengenali jerat serta mengenal pasti lokasi yang boleh dijadikan tempat perlindungan ketika berada di dalam hutan serta berlaku kecemasan.

Program kemahiran Malim Gunung melibatkan penyertaan belia berumur 18 sehingga 45 tahun telah dijalankan di Hutan Simpan Gunung Angsi, Negeri Sembilan.

Program ini turut mendapat sokongan dan diberikan latihan oleh Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM), Bomba & Penyelamat Malaysia serta Jabatan Perhutanan.

Untuk rekod, bagi tahun 2022, seramai 33,903 penerima manfaat telah menyertai program modal insan kepada masyarakat anjuran YBR dengan jumlah peruntukan sebanyak RM2.6 juta yang melibatkan 72 program.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat