PM tegas berpendirian kerajaan tak lindungi perasuah

- Advertisement -

KUALA LUMPUR – Kerajaan tidak melindungi mana-mana individu yang terlibat rasuah, kata Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau mengulangi kenyataan itu sebanyak dua kali dan berkata individu yang terlibat rasuah sama ada di pihak kerajaan atau pembangkang akan dihadapkan ke mahkamah seterusnya mahkamah akan menentukan sekiranya pihak berkenaan bersalah.

“Jadi tidak boleh menganggap pihak kerajaan hari ini melindungi individu-individu tertentu dan mengambil tindakan pada orang tertentu hanya untuk memuaskan hati sesetengah pihak.

“Kita tak tahu dulu sama ada dulu ada pendakwaan terpilih atau tidak, tetapi hari ini tiada pendakwaan terpilih kepada sesiapa, itu janji kerajaan,” katanya ketika sesi soal jawab di Parlimen pada Selasa.

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan tambahan Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim (PH-Port Dickson) mengenai kesungguhan pimpinan kerajaan untuk menyatakan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) harus bertindak tanpa ragu terhadap sesiapa sahaja.

Beliau berkata terdapat banyak kes yang sedang berjalan di mahkamah melibatkan wakil rakyat di pihak pembangkang dan kerajaan, membuktikan kerajaan serius mengambil tindakan kepada individu terlibat rasuah.

Selain itu, Ismail Sabri berkata kesediaan Malaysia dinilai dalam Indeks Persepsi Rasuah (CPI) 2021 menunjukkan ketelusan dan komitmen negara dalam penambahbaikan tadbir urus serta memaklumkan kerajaan kekal komited melaksanakan inisiatif di bawah Pelan Antirasuah Nasional (NACP).

“Bagaimanapun, harus kita ingat bahawa usaha-usaha penambahbaikan adalah bersifat jangka panjang dan hasilnya juga akan hanya dapat dilihat dalam jangka masa akan datang,” katanya menjawab soalan asal Anwar mengenai pendirian kerajaan berkenaan penurunan kedudukan Malaysia dalam penilaian CPI 2021 ke tangga 62 daripada 180 negara.

Ismail Sabri berkata pengukuran CPI dilaksanakan berdasarkan persepsi melalui kajian oleh institusi-institusi antarabangsa dan CPI Malaysia untuk 2021 dikira berdasarkan sembilan daripada 13 kajian dilaksanakan oleh pelbagai agensi antarabangsa.

Katanya, laporan tersebut menunjukkan Malaysia menduduki tempat kedua terbaik selepas Singapura di antara sembilan negara ASEAN yang terlibat.

“Antara perkara yang mempengaruhi skor dan kedudukan negara dalam CPI adalah soalan berbeza yang digunakan antara negara, responden atau kumpulan sasar serta jumlah penglibatan negara yang berbeza setiap tahun, sebagai contoh, kajian CPI tahun 2021 tidak melibatkan negara Brunei.

“Kerajaan melalui Pusat Governans, Integriti dan Antirasuah Nasional (GIACC) telah mengadakan beberapa sesi libat urus dengan pihak-pihak berkepentingan agar laporan CPI tersebut lebih adil dan dapat memberi gambaran yang sebenar,” katanya memetik laporan Bernama.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
27,591FollowersFollow
13,813SubscribersSubscribe

Topik Hangat