Penjawat dan organisasi awam berwajah baharu – Ismail Sabri

- Advertisement -

KUALA LUMPUR – Kerajaan sentiasa menambah baik sistem Penyampaian Kerajaan dari semasa ke semasa melalui maklum balas dari semua pihak.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, bagi mengatasi kelemahan yang timbul, kerajaan akan memberi fokus dalam memberi wajah baharu kepada penjawat awam dan juga lanskap baharu dalam organisasi awam .

“Kerajaan komited untuk membuat penambahbaikan yang akan dilaksanakan secara berterusan demi memastikan kecekapan dan keberkesanan sistem ini sentiasa ditambah baik.

“Pembaharuan ini bertujuan untuk menjadikan sistem Penyampaian Kerajaan lebih bersifat people-centric dan memudahcara urusan rakyat serta tidak lagi dibebani dengan karenah birokrasi,” katanya semasa menjawab soalan Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman (BN-Pasir Salak) pada sesi soal jawab lisan di Dewan Rakyat hari ini.

Ismail Sabri berkata, antara penambahbaikan yang telah dilaksanakan adalah meliputi kesegeraan penyaluran pelbagai bantuan termasuk bantuan tunai, geran, pinjaman mudah dan sebagainya dengan mengurangkan karenah birokrasi.

“Kita dapat lihat, bagaimana bantuan wang ihsan (BWI) yang dapat disalurkan dalam tempoh yang paling cepat dalam sejarah bantuan banjir yang berlaku pada penghujung tahun 2021.

“Buat pertama kali, Kerajaan menyediakan tiga (3) kaedah penyaluran kepada mangsa banjir, sama ada melalui penyerahan tunai di Pusat Pemindahan Sementara (PPS), rumah ke rumah dan juga pembayaran atas talian,” katanya.

Selain itu katanya, langkah yang diambil oleh Kerajaan ini dipacu oleh perkhidmatan awam yang cekap dan juga organisasi yang dinamik serta bersifat facilitative.

Tambahnya, kerajaan akan memastikan supaya organisasi awam lebih efisien dan efektif dengan mempunyai saiz, struktur dan fungsi yang bersesuaian serta tiada pertindanan fungsi.

“Kita akan meneliti, mengkaji fungsi sedia ada dan melakukan proses rekayasa (business process re-engineering) bagi memastikan ia sentiasa relevan dan memenuhi keperluan semasa serta mendatang.

“Fungsi yang tidak lagi relevan perlu dijumudkan bagi membolehkan kita melaksanakan fungsi yang terkini dengan lebih berkesan,” katanya.

Kerajaan juga katanya telah menggariskan agar sistem penyampaian perkhidmatan awam didorong oleh inisiatif baharu melalui pendekatan seperti penerapan lima nilai iaitu pantas, pengetahuan bertaraf dunia, memberi inspirasi, fleksibel dan berasaskan teknologi.

“Dalam memacu ekonomi digital Malaysia, Kerajaan sentiasa memastikan sistem penyampaian perkhidmatan awam mendokong transformasi Malaysia menjadi peneraju ekonomi digital serantau agar dapat memupuk serta membina masyarakat yang lebih progresif.

“Kita perlu menyediakan platform perkhidmatan yang kukuh, holistik dan kalis masa hadapan (future proof),” katanya.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat