SEGAMAT – Semua 1,193 sekolah rendah dan menengah di Johor boleh dibuka seperti biasa esok, walaupun ada beberapa kawasan masih dilanda banjir.
Ia membabitkan 908 sekolah rendah dan 285 sekolah menengah.
Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Penerangan dan Komunikasi negeri Johor, Norliza Noh yang juga ADUN Johor Lama, berkata setakat ini, pihaknya tidak menerima sebarang maklumat mengenai sekolah yang dinaiki air dan berharap sesi persekolahan yang akan bermula esok di negeri ini lancar.
“Sebahagian kawasan yang terjejas akibat banjir antaranya di Segamat menjadikan balai raya sebagai pusat penempatan sementara (PPS), oleh itu tiada sekolah di negeri ini yang dijadikan PPS ketika ini,” katanya ketika ditemui di PPS Balai Raya, Kampung Batu Badak di sini hari ini.
Hadir sama Pegawai Pendidikan Daerah (PPD) Segamat, Abd Rahman Kecik dan Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Zahida Zarik Khan.
Norliza berkata, memandangkan cuaca yang masih tidak menentu, pihaknya akan memantau perkembangan sehingga malam ini bagi memastikan sama ada terdapat guru atau murid yang tidak dapat ke sekolah berikutan jalan yang dinaiki air.
“Mana-mana guru atau murid yang mengalami masalah berkenaan banjir diminta memaklumkan situasi mereka kepada pihak pengurusan sekolah,” katanya.
Beliau berkata, keseluruhannya, seramai 584,322 pelajar sekolah rendah dan menengah seluruh Johor akan bersekolah esok.” katanya.
Katanya, sementara jumlah guru seramai 48,087. – BH