PKR Sarawak tolak seruan ajak sokong calon DAP, PBDS pada PRN

KUCHING – Majlis Pimpinan Negeri (MPN) Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) Sarawak menyanggah kenyataan Ketua Penerangan Pakatan Harapan (PH) Sarawak Tay Wei Wei yang menyeru ahli dan penyokong gabungan itu memberikan sokongan serta mengundi calon DAP dan Parti Bansa Dayak Sarawak (PBDS) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak ke-13.

MPN KEADILAN Sarawak dalam kenyataan media hari ini menegaskan bahawa sebarang pendirian, arahan atau keputusan politik yang melibatkan parti itu hendaklah berpandukan keputusan rasmi dan ketetapan kepimpinan parti.

Katanya, keputusan sedemikian tidak seharusnya dibuat menerusi kenyataan atau arahan secara individu tanpa mandat yang jelas daripada kepimpinan parti.

“Adalah tidak wajar untuk mana-mana individu membuat seruan yang seolah-olah mewakili keseluruhan pendirian KEADILAN dan AMANAH Sarawak, apatah lagi mengarahkan ahli serta penyokong parti memberikan sokongan kepada parti lain tanpa melalui proses perbincangan dan persetujuan rasmi,” menurut kenyataan itu.

MPN KEADILAN Sarawak turut menegaskan bahawa kerjasama dalam PH perlu berlandaskan semangat saling menghormati, persefahaman dan keputusan bersama.

Katanya, kerjasama politik tidak seharusnya dijadikan alasan untuk mana-mana pihak menentukan pendirian parti lain secara unilateral.

Sehubungan itu, MPN KEADILAN Sarawak menolak sebarang cubaan mengaitkan nama, keahlian dan sokongan parti itu dengan arahan politik yang tidak mendapat pengesahan rasmi daripada kepimpinan parti.

Dalam edaran media bertarikh sama, Facebook Tay Wei Wei menyatakan bahawa PKR dan AMANAH tidak bertanding pada PRN Sarawak ke-13.

Beliau turut menyeru semua penyokong PH Sarawak serta ahli PKR dan AMANAH di negeri itu supaya menyokong dan mengundi calon DAP Sarawak.

Bagi kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) yang tidak mempunyai calon DAP, Tay menyeru ahli dan penyokong berkenaan supaya memberikan sokongan serta mengundi calon PBDS.

Dalam pada itu, MPN KEADILAN Sarawak menyeru seluruh ahli dan penyokong parti supaya kekal tenang, berdisiplin serta tidak terpengaruh dengan kenyataan yang boleh menimbulkan kekeliruan dan perpecahan dalam kalangan parti komponen PH.

“Pendirian KEADILAN Sarawak mesti ditentukan oleh kepimpinan parti melalui saluran dan proses yang sah.

“Tiada mana-mana individu boleh bercakap atau membuat keputusan bagi pihak parti tanpa mandat yang sewajarnya,” menurut kenyataan itu.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat