SIBURAN – Sarawak menyasarkan untuk muncul sebagai kuasa tenaga di Asia Tenggara dengan memperluas penggunaan sumber tenaga boleh diperbaharui termasuk solar dan hidrogen bagi memenuhi permintaan tenaga masa hadapan.
Calon dan penyandang enam penggal berturut-turut DUN N.20 Tarat Datuk Seri Roland Sagah Wee Inn berkata, kelebihan Sarawak dalam penjanaan tenaga hidro perlu dimanfaatkan dan diperkukuh dengan penerokaan sumber tenaga alternatif.
Menurutnya, peningkatan keperluan tenaga susulan perkembangan kecerdasan buatan (AI), perindustrian dan automasi menuntut Sarawak memperluas kapasiti penjanaan elektrik bagi menyokong pertumbuhan ekonomi.
“Kita bernasib baik kerana mempunyai tenaga hidro untuk menjana kuasa elektrik, tetapi itu tidak mencukupi.
“Kita mahu menambah dan menaik taraf keupayaan ini dengan lebih banyak sumber tenaga, sama ada solar, hidrogen dan sebagainya.
“Itu sebahagian daripada dasar kita ke arah tenaga boleh diperbaharui dan kelestarian. Ini bukan hanya keperluan kita, tetapi seluruh dunia,” katanya ketika ditemui media di Majlis Pelancaran Jentera Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak di Kampung Sinjok, Siburan pada Ahad.
Roland yang sebelum ini menjawat jawatan Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak (MEITD) berkata, Sarawak bukan sahaja perlu memastikan bekalan tenaga mencukupi untuk kegunaan domestik dan industri, malah berhasrat memainkan peranan lebih besar dalam sektor penjanaan tenaga di rantau ini.
“Kita berharap Sarawak akan menjadi hab untuk menjana kuasa, sekurang-kurangnya bagi Asia Tenggara,” katanya.
Dalam perkembangan berkaitan, Roland berkata pembangunan teknologi dan peralihan kepada industri moden turut memerlukan penekanan lebih serius terhadap pendidikan Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM).
Katanya, generasi muda perlu dipersiapkan dengan pengetahuan dan kemahiran dalam bidang berkenaan bagi menghadapi perubahan landskap pekerjaan akibat perkembangan AI dan automasi.
“Sebab itu saya selalu menyeru kepada semua ibu bapa dan juga anak-anak supaya melihat bidang STEM ini dengan lebih serius kerana ia berkaitan masa hadapan kita,” katanya.
Beliau turut menegaskan pembangunan infrastruktur di kawasan Tarat akan diteruskan bagi memenuhi keperluan penduduk yang semakin meningkat, termasuk menaik taraf jalan raya dan kemudahan lampu jalan.
Menurutnya, usaha pembangunan kawasan itu turut disokong menerusi Greater Kuching Coordinated Development Agency (GKCDA), yang menyediakan peruntukan pembangunan wilayah sebanyak RM1.5 bilion.



