KUCHING- Kemenangan tanpa bertanding bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) N6 Tupong bukan alasan untuk Datuk Fazzrudin Abdul Rahman berasa selesa.
Sebaliknya kata Fazzrudin, kemenangan tanpa tanding ini menjadi amanah lebih besar untuk beliau meneruskan pembangunan dan memastikan kebajikan penduduk kawasan itu terus diberi perhatian.
Fazzrudin berkata, keutamaan beliau adalah memastikan kestabilan politik, kesinambungan pembangunan serta perpaduan masyarakat di Tupong terus diperkukuhkan.
“Kemenangan ini merupakan tanggungjawab dan amanah yang lebih berat bagi memastikan kestabilan politik, kesinambungan pembangunan serta perpaduan terus diperkukuhkan di kawasan N6 Tupong,” katanya ketika ditemui pemberita selepas diisytiharkan menang tanpa bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak ke-13.
Beliau turut menzahirkan rasa syukur dan merakamkan penghargaan kepada Pengerusi Gabungan Parti Sarawak (GPS) merangkap Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg atas kepercayaan yang diberikan untuk terus mewakili kawasan berkenaan.
Fazzrudin juga menghargai keputusan parti-parti nasional dan tempatan Sarawak yang tidak meletakkan calon di Tupong, sekali gus membolehkan kerusi itu dimenanginya tanpa pertandingan.
Bagaimanapun, beliau menegaskan jentera GPS dan Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Tupong tidak akan mengambil mudah kemenangan tersebut, sebaliknya akan terus memberikan khidmat terbaik kepada semua lapisan masyarakat tanpa mengira bangsa, agama mahupun kecenderungan politik.
Mengulas perancangan bagi tempoh 5 tahun akan datang, beliau berkata pembangunan fizikal di kawasan bandar dan separa bandar Tupong akan diteruskan menerusi pembinaan infrastruktur baharu serta penaiktarafan kemudahan sedia ada.
Selain pembangunan infrastruktur, tumpuan turut diberikan kepada pembangunan modal insan, pemerkasaan ekonomi setempat dan usaha membuka lebih banyak ruang kepada bakat muda tempatan.
Menurutnya, usaha berkenaan penting bagi memastikan masyarakat Tupong tidak ketinggalan menikmati manfaat pembangunan yang digariskan menerusi Strategi Pembangunan Pasca Covid-19 2030 (PCDS 2030).
Fazzrudin mempertahankan kerusi N6 Tupong untuk penggal ketiga berturut-turut selepas diumumkan menang tanpa bertanding pada hari penamaan calon PRN Sarawak ke-13.


