Majoriti besar GPS bukan bukti demokrasi matang, ruang suara rakyat lebih penting – Awang Pawi

KUCHING – Majoriti besar Gabungan Parti Sarawak (GPS) tidak boleh dijadikan ukuran kematangan demokrasi Sarawak sekiranya rakyat semakin kehilangan ruang untuk membuat pilihan politik yang bermakna, menyuarakan kritikan dan menuntut pertanggungjawaban kerajaan.

Penganalisis Sosiopolitik Universiti Malaya (UM) Datuk Profesor Dr Awang Azman Awang Pawi berkata, persaingan politik yang terhad pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak menimbulkan persoalan mengenai keseimbangan antara kestabilan politik dengan kualiti demokrasi.

Menurutnya, demokrasi bukan sekadar proses membentuk kerajaan, tetapi turut bergantung kepada peluang rakyat memilih wakil, kebertanggungjawaban pemimpin serta keberkesanan mekanisme semak dan imbang.

“Apabila banyak kerusi dimenangi tanpa bertanding, pengundi di kawasan terbabit tidak berpeluang menyatakan pilihan mereka melalui peti undi.

“Justeru, kemenangan tanpa bertanding tidak semestinya mencerminkan sokongan mutlak rakyat,” katanya dalam analisis mengenai landskap politik menjelang PRN Sarawak kepada SuaraTV pada Jumaat.

Awang Azman berkata, kekurangan persaingan politik tidak boleh dikaitkan sepenuhnya dengan dominasi GPS kerana keputusan strategik parti lain untuk tidak bertanding turut mengehadkan pilihan yang tersedia kepada pengundi.

Setakat 26 November lalu, Barisan Nasional (BN), PKR, Pas, Amanah, Bersatu dan Wawasan dilaporkan mengumumkan keputusan untuk tidak bertanding pada PRN kali ini.

Bagaimanapun, beliau menegaskan tanggungjawab memelihara demokrasi bukan hanya terletak pada parti pemerintah, malah turut membabitkan parti pembangkang yang perlu menawarkan alternatif kepada pengundi.

Mengulas kekuatan GPS, Awang Azman berkata, penguasaan gabungan itu disokong beberapa faktor struktural, termasuk jaringan akar umbi, kesinambungan kepimpinan, agenda pembangunan, autonomi Sarawak serta tuntutan berkaitan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

Pada PRN 2021, GPS memenangi 76 daripada 82 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN), manakala Parti Sarawak Bersatu (PSB) memperoleh empat kerusi dan DAP dua kerusi.

Menurutnya, kemampuan parti lain untuk bersaing pula bergantung kepada kekuatan calon, jentera akar umbi, isu setempat, kadar keluar mengundi serta keupayaan menyatukan undi pembangkang.

Beliau berkata, DAP mempunyai pengalaman pilihan raya dan sejarah sokongan di kawasan bandar seperti Kuching, Sibu, Miri dan Bintulu.

PBDS pula berpotensi mengetengahkan isu tanah Hak Adat Bumiputera (NCR), pembangunan luar bandar dan representasi masyarakat Dayak, manakala PBK membawa agenda autonomi serta hak Sarawak.

Selain itu, calon bebas juga berpotensi mempengaruhi persaingan di kawasan tertentu, terutama apabila ketokohan tempatan atau ketidakpuasan hati terhadap pemilihan calon menjadi faktor kepada pengundi.

Pada 26 November lalu, DAP mengumumkan akan bertanding di 12 kerusi, PBDS di 26 kerusi dan PBK di 12 kerusi. Bagaimanapun, jumlah sebenar pertandingan hanya dapat dipastikan selepas proses penamaan calon pada 28 November.

Awang Azman menegaskan kestabilan politik tidak seharusnya mengorbankan ruang demokrasi kerana kerajaan yang kuat dan institusi semak dan imbang yang berkesan boleh bergerak seiring.

Katanya, majoriti besar juga membawa tanggungjawab lebih besar kepada kerajaan untuk memastikan ketelusan, akauntabiliti dan keterangkuman dalam pembangunan negeri.

Justeru, katanya, kematangan demokrasi Sarawak bukan sekadar ditentukan oleh jumlah kerusi yang dikuasai GPS, tetapi sejauh mana suara rakyat, termasuk kelompok minoriti dan pengkritik kerajaan, terus diberikan tempat dalam proses pemerintahan.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat