NRES mahu Malaysia melangkaui peranan pembekal bahan mentah REE

KUALA LUMPUR – Malaysia perlu melangkaui peranan sebagai pembekal bahan mentah unsur nadir bumi (REE) dengan menguasai teknologi, membangunkan kepakaran serta menghasilkan produk bernilai tambah tinggi bagi memaksimumkan pulangan ekonomi kepada negara dan rakyat.

Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES) memaklumkan hala tuju pembangunan industri REE negara berpandukan kerangka Dasar Mineral Negara 3 (DMN3) yang memberikan penekanan kepada pembangunan keseluruhan rantaian nilai industri secara terkawal, mampan dan bertanggungjawab.

Ia merangkumi aktiviti eksplorasi dan perlombongan di peringkat huluan, pemprosesan dan pemisahan unsur di peringkat pertengahan serta penghasilan produk bernilai tambah tinggi di peringkat hiliran.

“Malaysia tidak seharusnya hanya bergantung kepada kekayaan sumber mineral semata-mata, sebaliknya perlu berupaya menguasai teknologi dan membangunkan keseluruhan rantaian nilai industri bagi memaksimumkan pulangan ekonomi kepada negara dan rakyat,” katanya dalam jawapan bertulis yang dimuat naik menerusi laman sesawang Parlimen.

NRES berkata demikian bagi menjawab pertanyaan Ahli Parlimen Temerloh, Salamiah Mohd Nor dan Ahli Parlimen Kubang Pasu, Datuk Wira Dr Ku Abd Rahman Ku Ismail berhubung hala tuju pembangunan industri REE negara.

Antara perkembangan positif industri berkenaan ialah kerjasama strategik antara Malaco Mining Sdn Bhd dengan Carester SAS dari Perancis menerusi Memorandum Persefahaman (MoU) yang dimeterai pada 4 Julai 2025 bagi pembangunan loji pemisahan REE di Perak dengan cadangan kapasiti pemprosesan sebanyak 13,000 tan metrik setahun.

Selain itu, kerjasama antara Lynas Rare Earths Ltd dengan JS Link Inc dari Korea Selatan menerusi perjanjian kerjasama jangka panjang bernilai RM1 bilion pada 7 Julai 2026 melibatkan pembangunan kilang pembuatan magnet kekal di Kuantan, Pahang.

Kilang berkenaan mempunyai kapasiti pengeluaran yang dirancang sebanyak 3,000 tan metrik setahun dan berpotensi mewujudkan sehingga 700 peluang pekerjaan baharu.

Dalam usaha memperkukuh pembangunan industri di peringkat huluan, kerajaan turut memperuntukkan RM38.49 juta bagi melaksanakan Projek Penilaian Potensi Sumber REE Fasa 2 di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) bagi tempoh 2026 hingga 2030, melibatkan kawasan seluas 160 kilometer persegi di 10 negeri.

Berdasarkan kajian tinjauan awal Jabatan Mineral dan Geosains Malaysia (JMG), negara dianggarkan mempunyai 16.1 juta tan metrik sumber REE dengan sumber terbesar dikenal pasti di Terengganu, Kelantan, Perak, Pahang dan Kedah.

Bagaimanapun, angka berkenaan merupakan anggaran sumber teragak dan bukannya rizab mineral yang telah disahkan berdaya maju untuk dilombong secara komersial.

Di peringkat serantau, NRES turut menegaskan kepentingan ASEAN untuk beralih daripada peranan tradisional sebagai pembekal bahan mentah mineral kepada peneraju industri mineral bernilai tambah tinggi menerusi penguasaan teknologi, pembangunan kepakaran, pengukuhan rantaian bekalan dan kerjasama strategik antara negara anggota.

Pendirian itu ditegaskan pada Mesyuarat Menteri-Menteri ASEAN Mengenai Mineral Kali Ke-11 (AMMin) yang dipengerusikan Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam semalam.

Dalam memastikan pembangunan industri REE dilaksanakan secara mampan, kerajaan turut mengekalkan pendirian untuk tidak membenarkan aktiviti perlombongan REE di Hutan Simpanan Kekal (HSK), Kawasan Sensitif Alam Sekitar (KSAS) dan kawasan perlindungan yang ditetapkan.

NRES menerusi Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM) juga sedang melaksanakan kajian impak perlombongan REE terhadap ekosistem hutan bagi memperkukuh asas saintifik dalam penilaian risiko alam sekitar serta penambahbaikan dasar dan mekanisme kawal selia.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat