KUALA LUMPUR – Ketika Datuk Seri Anwar Ibrahim menempuh detik sukar di Penjara Sungai Buloh, Sasterawan Negara Datuk Seri A Samad Said tidak pernah putus mengirimkan naskhah karyanya kepada beliau.
Perdana Menteri mengenang Allahyarham, yang mesra disapa Pak Samad, sebagai sahabat setia. Hubungan mereka turut terjalin menerusi surat-menyurat, sementara Pak Samad kekal teguh dalam perjuangan menuntut keadilan dan memartabatkan kesusasteraan Melayu sejak 1998.
“Dia seorang yang gigih, pencinta seni dan sastera dan juga pendidik bangsa,” kata Anwar kepada pemberita selepas memberikan penghormatan terakhir kepada Allahyarham di Masjid Saidina Abu Bakar As-Siddiq, Bangsar, malam Selasa.
Turut hadir Menteri Komunikasi Datuk Seri Fahmi Fadzil dan Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi Datuk Abdul Halim Hamzah.
Anwar turut mengenang ketekunan Pak Samad membaca dan menelaah karya sastera dari seluruh dunia. Katanya, naskhah di kediaman Allahyarham dipenuhi catatan peribadi pada halaman-halamannya, mencerminkan kesungguhan beliau mendalami setiap karya.
“Kalau dari segi pembacaan, saya belum jumpa seorang yang begitu gigih membaca sepertimana A Samad Said,” katanya.
Menurut Anwar, Pak Samad melihat kesusasteraan sebagai tunjang pembentukan jati diri dan pembinaan tamadun sesuatu bangsa. Beliau menyifatkan pemergian tokoh itu sebagai kehilangan besar kepada negara kerana sumbangannya sebagai pengkarya dan pendidik yang gigih mengangkat martabat bahasa dan sastera.
Perdana Menteri berkata kerajaan perlu memikirkan cara terbaik untuk mengabadikan sumbangan Pak Samad supaya warisan ilmu dan perjuangannya terus dihayati masyarakat.
Menurut Bernama, Pak Samad meninggal dunia pada usia 91 tahun, jam 6.10 petang Selasa, selepas menerima rawatan di Hospital Kuala Lumpur. Pengarang Salina, Sungai Mengalir Lesu dan Hujan Pagi itu diangkat sebagai Sasterawan Negara keempat pada 1985.



