KUALA LUMPUR – Malaysia dan Indonesia sepakat meneroka Program Desa Berkembar (Sister Village) bagi memadankan kampung di kedua-dua negara berdasarkan kekuatan ekonomi masing-masing, sekali gus membuka peluang lebih luas kepada koperasi dan usahawan desa menembusi pasaran serantau.
Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, persetujuan itu dicapai dalam pertemuan dua hala bersama Kementerian Desa dan Pembangunan Daerah Tertinggal Republik Indonesia di Bali.
Menurutnya, program berkenaan akan membuka ruang kerjasama dalam pertukaran kepakaran, pembangunan produk bersama serta peluasan akses pasaran bagi perusahaan komuniti luar bandar.
“Antara peluang yang dibincangkan ialah pertukaran kepakaran, pembangunan produk bersama dan peluasan akses pasaran bagi koperasi serta usahawan desa,” katanya dalam kenyataan pada Selasa di Bali.
Beliau berkata, kerjasama itu merupakan susulan Memorandum Persefahaman (MoU) mengenai Kerjasama Pembangunan Luar Bandar yang dimeterai di Jakarta pada 17 September lalu.
Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berkata, kedua-dua negara turut membincangkan pertukaran pengalaman dalam pembangunan koperasi dan perusahaan desa.
Katanya, Malaysia boleh berkongsi pengalaman membangunkan koperasi serta menyokong usahawan luar bandar, manakala model Badan Usaha Milik Desa (BUMDes) Indonesia boleh dijadikan rujukan untuk memperkukuh pengurusan aset dan perusahaan milik komuniti.
Beliau berkata, lawatan ke Desa Tegallalang dan Desa Mas di Bali turut memperlihatkan bagaimana kekuatan serta keunikan sesebuah kampung boleh dikembangkan sebagai sumber ekonomi penduduk.
“Di Tegallalang, penduduk menggabungkan aktiviti pertanian sawah dengan agropelancongan, manakala Desa Mas memanfaatkan kemahiran ukiran kayu yang diwarisi turun-temurun untuk membangunkan perusahaan yang mampu menjangkau pasaran lebih luas.
“Pengalaman kedua-dua desa itu boleh dijadikan rujukan dalam pelaksanaan program Desa Kirana dan Desa Lestari di Malaysia,” katanya.
Selain pembangunan ekonomi, Zahid berkata, amalan pengasingan sisa dan pengkomposan sisa organik di Tegallalang turut memberi contoh kepada Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) serta JPKKP untuk melaksanakan pendekatan serupa bersama komuniti.
Pengalaman Indonesia menerusi Indeks Desa juga boleh dijadikan rujukan bagi menilai kemajuan kampung berdasarkan pendapatan penduduk, akses kepada perkhidmatan asas dan keupayaan komuniti mengurus pembangunan setempat.
Sebagai langkah susulan, Malaysia dan Indonesia bersetuju menubuhkan Kumpulan Kerja Bersama (JWG) bagi memperincikan cadangan kerjasama, mengenal pasti program keutamaan termasuk Program Desa Berkembar serta memantau pelaksanaannya.
Pelan kerja bersama itu disasarkan dimuktamadkan dalam tempoh 6 bulan.



