Dadah RM1.54 juta disembunyikan dalam lebih 15,000 katrij vape

KUALA LUMPUR – Taktik menyembunyikan dadah jenis methamphetamine dalam 15,456 unit katrij vape terbongkar selepas Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) menggagalkan cubaan penyeludupan bahan terlarang itu bernilai lebih RM1.54 juta di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), pada 14 November lalu.

Pengarah Kastam KLIA, Aspalila Ag Tuah berkata, pemeriksaan pihaknya menemukan sebanyak 30.91 liter cecair disyaki mengandungi methamphetamine dalam katrij vape berkenaan.

Menurutnya, siasatan awal mendapati kesemua katrij vape terbabit dibawa masuk dari Kuching, Sarawak menggunakan perkhidmatan penghantaran kargo.

“Siasatan awal mendapati katrij-katrij vape tersebut dibawa masuk dari Kuching, Sarawak menggunakan Borang Kastam No 3 dan semua katrij vape kemudiannya disita untuk siasatan serta pemeriksaan lanjut.

“Dadah itu cuba dibawa masuk menggunakan perkhidmatan penghantaran kargo dan diubah dalam bentuk cecair bagi mengelak dikesan oleh pihak berkuasa,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Dalam operasi berasingan pada 4 November lalu, JKDM turut mematahkan cubaan menyeludup keluar dadah jenis sama yang disembunyikan dalam bungkusan plastik teh.

Aspalila berkata, dua bungkusan kotak disyaki mengandungi dadah berbahaya itu dirampas daripada sebuah pengendali terminal kargo di Zon Perdagangan Bebas KLIA pada jam 11.10 malam.

Beliau berkata, kedua-dua bungkusan berkenaan dipercayai hendak dieksport ke sebuah negara di Oceania menggunakan perkhidmatan penghantaran bungkusan.

“Hasil pemeriksaan rapi menemukan 26 ketulan kristal mampat iaitu dadah jenis methamphetamine yang dibaluti bungkusan plastik bertulis Refined Chinese Tea.

“Jumlah keseluruhan dadah yang dirampas ialah sebanyak 26.55 kilogram bernilai RM1.327 juta,” katanya.

Menurutnya, dadah berkenaan dipercayai disembunyikan dalam plastik teh sebagai taktik untuk mengelakkan kegiatan penyeludupan itu dikesan pihak berkuasa.

Secara keseluruhan, kedua-dua operasi berasingan pada 4 dan 14 November itu menyaksikan JKDM KLIA menggagalkan cubaan penyeludupan dadah bernilai kira-kira RM2.87 juta.

Aspalila berkata, kedua-dua kes masih dalam siasatan dan syarikat pengendali penghantaran telah dipanggil bagi membantu siasatan lanjut.

Katanya, kedua-dua kes disiasat mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat