RM500 juta diperuntukkan untuk edar barang keperluan di 828 kawasan pada 2026 dan 2027

KUALA LUMPUR – Kerajaan memperuntukkan sebanyak RM500 juta bagi tempoh dua tahun menerusi Program Pengedaran Barang Perlu (PPBP) untuk membantu menangani cabaran kos logistik dan pengedaran barangan keperluan, khususnya di kawasan pedalaman.

Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Dr Fuziah Salleh berkata, peruntukan sebanyak RM250 juta masing-masing bagi 2026 dan 2027 itu melibatkan pengedaran barangan keperluan di 828 kawasan.

Beliau berkata, kerajaan mengambil kira perbezaan struktur kos antara peniaga kecil di kawasan pedalaman dengan pasar raya besar, khususnya dari segi pembelian pukal dan kos logistik.

Menurutnya, pasar raya besar mempunyai kelebihan ekonomi skala yang membolehkan mereka mendapatkan bekalan barangan secara pukal pada harga lebih rendah, berbanding peniaga kecil yang terpaksa menanggung kos tambahan untuk membawa barangan ke premis masing-masing.

Sehubungan itu, katanya, kerajaan memberi tumpuan kepada bantuan berkaitan logistik menerusi beberapa inisiatif termasuk Program Penyeragaman Harga dengan peruntukan RM67 juta bagi pengangkutan barangan dari Semenanjung ke Sabah dan Sarawak.

Selain itu, kerajaan turut memperuntukkan RM3.5 bilion pada 2025 bagi Skim Kawalan Diesel Bersubsidi (SKDS) yang melibatkan kira-kira 30,000 kenderaan pengangkutan barangan keperluan pengguna.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan asal Datuk Seri Doris Sophia Brodi (GPS-Sri Aman) mengenai perbezaan kos antara peniaga kecil di kawasan pedalaman dengan pasar raya besar dalam penetapan harga dan subsidi nasional pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat, hari ini.

Dalam perkembangan berkaitan, Fuziah berkata, semua peruncit termasuk kedai runcit di kawasan pedalaman berpeluang menyertai program Sumbangan Asas Rahmah (SARA) dengan memohon terminal pembayaran daripada Kementerian Kewangan (MOF).

“Sebenarnya semua peruncit boleh terlibat dengan program SARA kerana subsidi yang ditawarkan bayaran itu dibuat secara langsung (direct) daripada MOF.

“Jadi, apa yang peruncit perlu buat, mereka perlu memohon kepada MOF untuk mendapatkan terminal tersebut.

“Apabila terminal itu dipasang di kedai runcit mereka dan apabila pengguna menggunakan kad pengenalan mereka, maka bayaran itu dibuat oleh MOF terus kepada peruncit,” katanya.

Beliau menjawab soalan tambahan Datuk Idris Ahmad (PN-Bagan Serai) berhubung langkah kerajaan memastikan kedai runcit di kawasan pedalaman turut mendapat manfaat daripada program SARA susulan kebimbangan kehilangan pelanggan akibat persaingan dengan pasar raya dan rakan strategik program berkenaan.

Fuziah berkata, berdasarkan pemerhatiannya ketika mengunjungi kawasan pedalaman, kedai runcit yang mempunyai terminal pembayaran SARA sememangnya menerima manfaat daripada penyertaan dalam program itu.

Sementara itu, beliau berkata, kementeriannya turut melaksanakan pemantauan harga setiap hari menerusi 850 pegawai pemantau yang memeriksa 2,170 premis membabitkan 316 jenis barangan.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat