Kes dadah babit pegawai TUDM: PGIRM desak kerajaan beri penjelasan menyeluruh

KUALA LUMPUR – Pertubuhan Gagasan Inovasi Rakyat Malaysia (PGIRM) menggesa kerajaan memberikan penjelasan menyeluruh berhubung dakwaan penglibatan pegawai dan juruterbang Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) dalam kegiatan penyeludupan dadah yang menyentuh integriti serta keselamatan institusi pertahanan negara.

Presidennya, Azmi Mohd Tahir berkata, kerajaan bukan sahaja perlu mengambil tindakan tegas terhadap individu yang disyaki terlibat, malah mengenal pasti sebarang kelemahan sistem kawalan keselamatan yang memungkinkan kegiatan berkenaan berlaku.

Beliau berkata, pihaknya memandang serius pendedahan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, mengenai perkara itu ketika mengadakan sidang media bersama wartawan Malaysia di Shenzhen, China, pada 19 November lalu.

“PGIRM tidak mempertikaikan tindakan tegas terhadap mana-mana anggota keselamatan yang disyaki terlibat dalam kegiatan jenayah. Tiada sesiapa boleh dilindungi hanya kerana memakai uniform atau memegang pangkat tertentu.

“Namun, ada persoalan yang tidak boleh dibiarkan berlalu tanpa penjelasan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Azmi turut mempersoalkan kewajaran pendedahan berkenaan dibuat ketika Perdana Menteri berada di luar negara, sedangkan siasatan pihak berkuasa masih berjalan.

Katanya, meskipun PGIRM mengambil maklum penjelasan Perdana Menteri bahawa pendedahan itu dibuat bagi mengelakkan tanggapan kerajaan sengaja melengah-lengahkan tindakan, persoalan mengenai pertimbangan, masa dan tatacara penyampaian maklumat masih perlu dijawab.

“Kita sedang bercakap tentang keselamatan negara, bukan isu biasa yang boleh dikendalikan sekadar dengan kenyataan di hadapan media,” katanya.

Menurut kenyataan itu, siasatan polis dilaporkan mendapati sindiket berkenaan dipercayai aktif sejak Julai 2026 dengan mengeksploitasi kemudahan penerbangan tentera untuk kegiatan penyeludupan dadah.

Polis turut mengumumkan penahanan 11 individu termasuk lima pegawai TUDM serta rampasan dadah disyaki syabu seberat 96.64 kilogram.

Susulan itu, Azmi mengemukakan tujuh persoalan kepada kerajaan, termasuk sama ada pendedahan Perdana Menteri telah diselaraskan sepenuhnya dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM), Kementerian Pertahanan dan kepimpinan tertinggi Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

PGIRM turut mahu kerajaan menjelaskan bagaimana sindiket berkenaan dipercayai dapat mengeksploitasi kemudahan penerbangan tentera tanpa dikesan lebih awal serta sama ada terdapat kelemahan dalam prosedur pemeriksaan, kawalan akses dan pemantauan pergerakan barangan di pangkalan udara tentera.

Selain itu, pertubuhan berkenaan mahu pihak yang bertanggungjawab dikenal pasti sekiranya siasatan mengesahkan wujud kecuaian atau kelemahan sistem kawalan.

Azmi berkata, PGIRM turut mengambil maklum kenyataan Menteri Dalam Negeri pada 22 November bahawa kerajaan sedang meneliti langkah memperketat kawalan keselamatan di pangkalan tentera dan polis susulan kes berkenaan.

“Jangan tunggu kelemahan keselamatan terbongkar melalui kegiatan jenayah sebelum sistem kawalan diperiksa dan diperbetulkan,” katanya.

Dalam pada itu, beliau menegaskan bahawa usaha menjaga imej negara tidak bermakna salah laku perlu disembunyikan, sebaliknya setiap pendedahan yang menyentuh keselamatan negara memerlukan pertimbangan, ketepatan fakta dan tanggungjawab.

“Kita tidak mahu kesalahan segelintir individu menyebabkan seluruh institusi ATM dipandang serong. Anggota yang menjalankan amanah dengan jujur tidak sepatutnya menanggung persepsi buruk akibat perbuatan individu yang disyaki terlibat,” katanya.

Azmi berkata, isu berkenaan tidak seharusnya berakhir dengan penahanan suspek dan kenyataan mengenai tindakan tegas semata-mata, sebaliknya perlu disusuli langkah pembetulan bagi mengelakkan kejadian sama berulang.

“Bagi PGIRM, akauntabiliti bukan sekadar menangkap individu yang disyaki melakukan jenayah. Akauntabiliti juga bermaksud mengenal pasti kelemahan sistem, menentukan tanggungjawab dan memastikan pembetulan dilaksanakan,” katanya.

PGIRM turut menggesa kerajaan memberikan penjelasan kepada rakyat mengenai hasil siasatan serta langkah pembetulan yang diambil setelah proses penguatkuasaan selesai.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat