Pas Rapid Kembara, tawarkan pengalaman penerokaan bandar secara interaktif

Oleh Zihan Zari

KUALA LUMPUR – Lembaga Penggalakan Pelancongan Malaysia (Tourism Malaysia) terus memperkukuh usaha pelancongan bandar yang lestari menerusi kerjasama dengan Rapid KL dalam memperkenalkan pas perjalanan Rapid Kembara tujuh hari.

Tourism Malaysia dalam kenyataan berkata, Pas tersebut menggalakkan pelawat menerokai pelbagai tarikan pelancongan di Kuala Lumpur dan kawasan sekitar Lembah Klang sempena Kempen Melawat Malaysia 2026-2027 (VM2026-2027) melalui rangkaian pengangkutan awam.

“Pas Rapid Kembara selama tujuh hari memberikan fleksibiliti kepada pelawat dalam merancang perjalanan sepanjang berada di Lembah Klang, termasuk mengunjungi destinasi kebudayaan, pusat beli-belah, tarikan bandar dan lokasi tumpuan pelancong.

“Pas ini menawarkan perjalanan tanpa had akan mula tersedia pada 18 November 2026 di Kaunter Khidmat Pelanggan Rapid KL, hab bas terpilih serta melalui aplikasi Touch ‘n Go eWallet.

“Selain itu, inisiatif Rapid Kembara Stamp Rally yang berlangsung dari 18 November 2026 hingga 17 Mei 2027 menawarkan pengalaman penerokaan bandar secara interaktif,”kata kenyataan itu.

Katanya, pengguna pas tersebut berpeluang mengumpul setem di beberapa stesen rel Rapid KL terpilih dan premis rakan strategik yang mengambil bahagian, sekali gus menggalakkan mereka mengunjungi lebih banyak lokasi menarik di sekitar Kuala Lumpur.

“Stesen-stesen terlibat termasuk Ampang Park, KLCC, Kampung Baru, Masjid Jamek, Pasar Seni, KL Sentral, Bukit Bintang, Bukit Nanas, Hang Tuah dan Pudu.

“Peserta juga berpeluang mengumpul setem tambahan di premis rakan strategik terpilih seperti Jadi Batek, Immersify KL, Kakatoo, Sunway Velocity Mall dan DurianBB.

“Penyertaan bagi pasport setem adalah terhad kepada 10,000 peserta pertama dan peserta yang berjaya melengkapkan pasport setem berpeluang memenangi hadiah istimewa sebagai ganjaran atas usaha mereka menerokai pelbagai tarikan di sekitar destinasi-destinasi tersebut, ”katanya lagi.

Ujarnya, ketersediaan rangkaian pengangkutan awam yang menghubungkan pelbagai tarikan pelancongan dapat membawa pelawat lebih dekat kepada setiap destinasi pelancongan bandar, di samping memberikan peluang kepada mereka untuk mengenali kepelbagaian budaya, gastronomi, seni, kraf dan gaya hidup masyarakat tempatan.

“Kempen ini juga menyokong usaha memperkukuh Lembah Klang sebagai destinasi pelancongan bandar yang mesra pelawat, dengan akses kepada pelbagai tarikan melalui rangkaian rel dan bas.

“Penggunaan pengangkutan awam dapat menggalakkan amalan perjalanan yang lebih lestari serta menyokong aktiviti ekonomi komuniti setempat, selaras dengan Matlamat Pembangunan Mampan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNSDG) dan aspirasi VM2026-2027.

“Malaysia mencatatkan seramai 32.3 juta pelawat antarabangsa direkodkan dari Januari hingga September 2026, peningkatan sebanyak 2.4 peratus (%) berbanding 31.5 juta dalam tempoh sama pada 2025,”ujarnya lagi.

Tambahnya, Malaysia turut menerima seramai 151.6 juta pelawat domestik bagi tempoh separuh pertama 2026, peningkatan sebanyak 5.6 % berbanding 143.5 juta dalam tempoh sama tahun lepas.

“Tourism Malaysia akan terus merancakkan usaha untuk menggalakkan para pelawat memanfaatkan kemudahan pengangkutan awam melalui pengenalan pas seperti Rapid Kembara bagi menerokai destinasi pelancongan negara.

“Dengan slogan ‘Yang Indah, Destinasi Kita’, gabungan kemudahan pengangkutan yang baik serta kepelbagaian produk dan pengalaman pelancongan berupaya menjadikan perjalanan ke Malaysia lebih lancar, menarik dan bermakna,”tambahnya lagi. – SUARA.TV

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat